Penstrukturan Semula Industri Air Selangor Dijangka Selesai September - MB

Diterbitkan: Khamis, 27 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Proses penstrukturan semula industri pembekalan air di Selangor dijangka selesai pada September berikutan komitmen yang ditunjukkan Perdana Menteri untuk bekerjasama bagi menyelesaikan perkara itu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima surat Datuk Seri Najib Tun Razak bertarikh 19 Jun lepas menyatakan beliau sangat terbuka dan bersedia berbincang bagi menyelesaikan penstrukturan semula bekalan air seperti dikehendaki Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

"Perdana Menteri menyatakan beliau telah meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili untuk mengambil tindakan susulan bagi mengadakan perbincangan dengan kerajaan Selangor dalam tempoh terdekat.

"Kerajaan negeri melihat perkara ini sebagai perkembangan positif ketika kita menyiapkan draf dokumen pengambilalihan syarikat konsesi mengikut terma dan syarat yang akan dipersetujui serta selari dengan WSIA," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Abdul Khalid berkata, pihaknya juga telah menyiapkan draf mengenai tanggungjawab dan bidang kuasa semua pihak termasuk Perbadanan Kementerian Kewangan, Perbadanan Urus Air Berhad dan syarikat konsesi.

Beliau berharap Perdana Menteri mendapat mesej jelas mengenai kesungguhan dan komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan penstrukturan semula ini demi kepentingan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, kerajaan Selangor menyokong penuh cadangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk menutup sementara sekolah agama kerana jerebu bagi kawasan yang mengalami Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi bacaan 300.

Sehubungan itu, beliau berkata semua sekolah agama negeri, sekolah yang menerima bantuan (Kafa Integrasi) dan sekolah persendirian yang berdaftar di bawah Jais secara automatik wajib ditutup untuk sementara apabila IPU melebihi 300 seperti yang diarahkan Kementerian Pendidikan.

"Bagi kawasan IPU antara 250 hingga 300, pihak pentadbiran sekolah yang berkenaan perlu memaklumkan kepada jabatan tentang penutupan sekolah. Sekolah di kawasan IPU di bawah 250 masih boleh dibuka dengan mengambil langkah seperti memakai topeng muka, mengehadkan aktiviti luar kelas dan segera merujuk ke hospital jika pelajar atau guru mengalami gangguan kesihatan," katanya.

Abdul Khalid berkata, semua sekolah perlu mematuhi panduan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Kementerian Pendidikan untuk menutup sekolah atau memberi cuti kepada guru dan murid akibat jerebu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan