MTUC Mahu Majikan Sediakan Topeng Muka Secara Percuma Kepada Pekerja

Diterbitkan: Selasa, 25 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Selasa menggesa semua majikan menyediakan topeng muka secara percuma kepada pekerja mereka berikutan jerebu yang semakin teruk di negara ini.

Keutamaan patut diberikan kepada mereka yang bekerja di lapangan seperti pembinaan, perladangan dan pekerja pelabuhan, kata Naib Presidennya A. Balasubramaniam.

Beliau memberitahu Bernama, pada ketika ini sesetengah pekerja membeli sendiri topeng muka dan ini membebankan mereka daripada segi kewangan.

Balasubramaniam, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Keselamatan MTUC berkata majikan juga perlu memberi pertimbangan sewajarnya kepada pekerja mereka yang menghidap asma atau penyakit lain berkaitan pernafasan.

Beliau berkata, kategori pekerja seumpama itu patut diberikan bantuan perubatan sepatutnya atau cuti bergantung kepada keadaan jerebu dan keperluan kesihatan mereka.

Katanya, diharapkan kerajaan akan menyediakan insentif khas untuk menggalakkan majikan menjamin kesihatan pekerja mereka semasa tempoh kritikal ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan