Dunia Iktiraf Pendekatan Malaysia Pulih Penagihan Dadah - Najib

Diterbitkan: Selasa, 25 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Badan-badan dunia mengiktiraf pendekatan Malaysia dalam melaksanakan usaha pemulihan penagihan dadah, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata badan-badan dunia seperti Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Program Bersama PBB mengenai HIV/AIDS (UNAIDS) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dengan pembasmian dadah telah memberi pengiktirafan itu berdasarkan transformasi yang dilaksanakan dan kejayaan yang dikecapi.

Katanya negara turut mendapat pujian daripada badan dunia apabila dilihat sebagai satu-satunya kerajaan di dunia yang memberi sokongan penuh kepada usaha membasmi penagihan dadah dalam negara.

"WHO misalnya memberikan penghargaan dan pujian terhadap pendekatan 'Pulih dan Prihatin' Malaysia dalam Laporan "Good Practices In Asia: Effective Paradigm Shifts Towards Improved National Response To Drug & HIV/AIDS" yang dikeluarkan pada awal tahun lalu," katanya dalam perutusan sempena Hari AntiDadah Antarabangsa (HADA) 2013 di sini, Selasa.

Tema sambutan HADA pada tahun ini ialah 'Sukarelawan Bukan Pilihan, Ia Satu Tanggungjawab'. Ia disambut pada setiap 26 Jun, yang telah diisytiharkan sebagai Hari Antidadah Antarabangsa.

Najib berkata Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) telah bertindak proaktif dengan mengambil pendekatan yang diberi nilai tambah ke arah perkhidmatan rawatan dan pemulihan secara terbuka dan sukarela dalam mengharungi era globalisasi yang semakin mencabar.

Katanya penyampaian perkhidmatan AADK telah ditransformasikan dengan mewujudkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan terkini seperti Klinik Cure & Care 1Malaysia, Cure & Care Service Centre, Caring Community House (CCH), Cure & Care Vocational Centre (CCVC) dan Cure & Care Rehabilitation Centre (CCRC).

"Transformasi yang bermula pada 2010 telah menunjukkan impak positif dengan kehadiran terkumpul klien secara sukarela seramai 29,498 orang di 11 buah Klinik Cure & Care 1Malaysia.

"Klien yang hadir mendapatkan perkhidmatan di 52 Cure & Care Service Centre telah mencecah sejumlah 575,443 orang sehingga 30 April lalu," katanya.

Menurutnya CCH ialah pusat aktiviti kemasyarakatan dikendalikan sepenuhnya komuniti setempat yang bertindak sebagai pusat penyebaran maklumat anti-dadah manakala CCVC dibangunkan untuk membantu penagih dan pengguna dadah mendapatkan perkhidmatan latihan kemahiran, penempatan pekerjaan dan pengembangan kerjaya.

"AADK juga telah membuat anjakan berganda dengan melaksanakan transformasi di CCRC dengan menstrukturkan semula pengisian supaya seiring dengan keperluan pemulihan klien," katanya.

Bagi menyokong transformasi kerajaan dalam mengurangkan indeks kadar jenayah, Najib berkata Bahagian Pengesanan dan Pengawasan AADK yang bertanggungjawab terhadap Orang Kena Pengawasan akan memastikan mereka hadir untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan.

"Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri khususnya AADK akan memperluaskan lagi perkhidmatan berkenaan dalam tempoh terdekat demi memenuhi jangkaan masyarakat dan memastikan rakyat bebas daripada ancaman dadah," katanya.

Beliau berkata penagihan dadah dalam negara akan mencapai tahap epidemik sekiranya langkah tegas tidak diambil untuk membanterasnya dan sasaran utama ialah generasi muda yang menjadi tulang belakang dan harapan negara pada masa hadapan.

Justeru, beliau menyeru rakyat supaya memperbaharui iltizam, memperteguhkan tekad dan semangat yang lebih kental untuk melaksanakan tanggungjawab bersama membantu kerajaan membebaskan negara daripada masalah dadah.

"Tanggungjawab yang diamanahkan ini akan lebih berkesan dengan sokongan secara total daripada semua pihak," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan