239 Sekolah Di Daerah Manjung Dan Hilir Perak Ditutup Selasa Dan Rabu

Diterbitkan: Selasa, 25 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Sekolah di daerah Manjung dan Hilir Perak diarah tutup mulai sesi petang hari ini berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) merekodkan bacaan 333 iaitu tahap berbahaya pada pukul 11 pagi.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak, Idris Ramli berkata, semua 102 sekolah di daerah Manjung serta 137 sekolah Hilir Perak diarahkan tutup mulai pada Selasa dan Rabu.

"Semua sekolah di dua daerah itu diarahkan tutup mulai hari ini dan esok manakala hari yang berikutnya akan bergantung kepada bacaan IPU," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan khas untuk sentiasa memantau bacaan IPU serta mendapatkan perkembangan terkini kesan jerebu dari setiap pejabat pelajaran daerah (PPD).

"Jika PPD mohon untuk tutup sekolah, kita akan pertimbangan berdasarkan surat dan garis panduan daripada Ketua Pengarah Pendidikan. Kita telah maklumkan jika bacaan IPU melebihi 200 semua aktiviti ko-kurikulum dan di luar bilik darjah perlu dihentikan, tapi apabila sudah lebih 300 sekolah wajib ditutup," katanya.

Idris turut menasihatkan pihak sekolah supaya segera membawa murid yang dikesan mengalami masalah kesihatan akibat kesan jerebu ke klinik atau hospital berhampiran dengan segera untuk rawatan.

"kepada ibu bapa pula, jika murid mempunyai penyakit yang tidak boleh berhadapan dengan situasi jerebu dengan pengesahan serta laporan perubatan, maklumkan kepada pihak sekolah kerana kita tidak mahu ada masalah yang timbul," katanya.

Pegawai Pelajaran Daerah Manjung Muhd Suod Mat Thani berkata penutupan itu melibatkan 21 buah sekolah menengah dan 81 sekolah rendah dengan hampir 40,000 orang murid.

"Kami telah mendapat kebenaran dari Jabatan Pelajaran Negeri dan telah memaklumkan kepada semua pengetua serta guru besar sekolah di sini. Murid sesi pagi dibenarkan pulang awal memandang mereka telah hadir ke sekolah pagi ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata, sesi persekolahan pada Selasa dan Rabu perlu digantikan pada tarikh yang ditentukan kemudian.

Sementara itu Pegawai Pelajaran Daerah Hilir Perak, Zainal Abiddin Osman berkata, 113 sekolah rendah dan 24 sekolah menengah di daerah itu ditutup serta merta pada Selasa.

Beliau berkata, penutupan semua sekolah itu melibatkan melibatkan 20,145 murid sekolah rendah dan 19,446 murid peringkat menengah.

"Dengan rekod bacaan IPU melebihi 300 maka kita baru sahaja edarkan surat arahan penutupan kepada semua sekolah dengan serta merta," katanya ketika dihubungi di sini.

Pihaknya turut menerima laporan dua murid Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kandi dan dua dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia mengadu sesak nafas dan telah dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan, katanya.

Mengikut laman web Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, bacaan IPU di Seri Manjung mencecah 331 pada pukul 12 tengah hari tadi sementara Jalan Tesek, Ipoh (150), Jalan Pegoh, Ipoh (196), Kampung Air Putih, Taiping (155) dan Tanjung Malim (178). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan