Tindakan Berkhemah di Padang Merbok Menyimpang Daripada Janji Berhimpun Secara Aman

Diterbitkan: Sabtu, 22 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tindakan Suara Anak Muda Malaysia (SAMM) berkhemah di Padang Merbok, Jalan Parlimen, di sini pada Sabtu, menimbulkan tanda soal terhadap tujuan sebenar Perhimpunan Black 505 anjuran pembangkang membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lepas.

Walaupun perhimpunan itu umumnya berlangsung aman, tindakan sekumpulan SAMM berkhemah di situ selepas perhimpunan petang ini, boleh menjurus kepada pertembungan antara mereka dengan pihak penguatkuasa dan undang-undang sekiranya mereka tetap berdegil.

Perbuatan berkhemah di tempat awam bawah jagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu menjelang majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat Isnin ini sudah menyimpang daripada janji penganjur bahawa mereka sekadar mahu berhimpun secara aman hari ini.

Seolah-olah mereka tidak berpuashati perhimpunan berlangsung aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini seperti peserta tercedera.

Sikap polis yang amat berhemah mengendalikan demonstrasi menyumbang kepada amannya perhimpunan, walaupun peserta bersikap provokatif.

Krisis awal ke arah konfrontasi mula kelihatan apabila dua anggota penguatkuasa DBKL dikasari oleh peserta perhimpunan termasuk anggota SAMM yang terdiri daripada 500 orang dengan mengemuruni dua petugas DBKL itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dalam kejadian 4.30 petang itu, sekumpulan peserta daripada SAMM cuba mendirikan beberapa khemah menyebabkan dua anggota DBKL menghalang perbuatan mereka.

Disebabkan cuba menghalang kumpulan itu, dua petugas DBKL itu dipukul dan mereka diselamatkan polis serta pegawai DBKL dengan melarikan mereka daripada kepungan perserta perhimpunan dan membawa mereka masuk ke dalam van DBKL yang berada di tempat kejadian.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang turun padang melihat keadaan di Padang Merbok tengah hari Sabtu menyifatkan penyakit 'hati angkuh' yang dihidapi pemimpin pakatan pembangkang terutama Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan punca mengapa pakatan itu tidak mahu menerima keputusan pilihan raya umum dan menganjurkan perhimpunan hari ini.

Tengku Adnan berkata kerana penyakit itu pembangkang sengaja membutakan mata mereka terhadap keputusan dibuat rakyat pada pilihan raya umum ke-13 dan tetap meneruskan perhimpunan walaupun tahu ia bakal mengundang keresahan warga kota.

Malah mereka menolak tawaran untuk perhimpunan itu diadakan di Stadium Merdeka dan tetap mahu mengadakannya di Padang Merbok untuk menjerit-jerit dan menarik perhatian orang ramai, katanya.

Malah kehadiran penyokong pada perhimpunan itu yang dianggarkan polis seramai 20,000 orang membuktikan pembangkang gagal meraih sokongan umum sedangkan sasaran awal mereka ialah 300,000 orang.

Kebanyakan peserta perhimpunan bukanlah mewakili suara umum sebaliknya mereka adalah anggota daripada beberapa pertubuhan antaranya SAMM dan Asalkan Bukan Umno (ABU) serta anggota parti politik daripada PAS, DAP dan PKR.

Penganjuran perhimpunan itu juga adalah satu kejanggalan apabila anggota parlimen daripada pembangkang akan turut mengangkat sumpah pada Isnin ini yang memberikan gambaran mereka seolah-olah menerima kemenangan mereka pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), tetapi mengadakan demonstrasi membantah kemenangan Barisan Nasional (BN).

PRU-13 menyaksikan pembangkang gagal menerajui negara apabila hanya peroleh 99 kerusi Parlimen berbanding Barisan Nasional dengan 133 kerusi daripada 222 kerusi yang dipertandingkan.

Malah pembangkang juga terlepas Kedah, negeri yang diterajuinya pada 2008 tetapi mengekalkan Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Asas dan justifikasi perhimpunan juga tiada apabila kerusi yang dimenangi mereka diterima sebagai sah dan tiada penipuan tapi mempertikai 133 kerusi Parlimen BN.

Juga ketara kejanggalan perangai politik pembangkang dalam beria-ia menganjurkan siri bantahan apabila menerima kemenangan mereka dan penubuhan kerajaan pembangkang di Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan tetapi mempertikai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di negeri mereka kalah.

Rentetan daripada perhimpunan itu, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa ditahan polis hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 4, Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya mengenai 'mati syahid' di Kelantan baru-baru ini.

Husam seperti dilaporkan dalam Harakahdaily Ahad lepas berkata peserta yang terkorban ketika menyertai perhimpunan pembangkang di Padang Merbok dianggap sebagai mati syahid.

Polis turut menahan seorang bekas mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) di bawah akta sama di hadapan rumahnya di Klang, Selangor berhubung kenyataan di laman blognya yang cuba menghasut untuk menyerang pasukan keselamatan pada perhimpunan di Padang Merbok itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin menegaskan meskipun pasukan keselamatan berjaya mengawal perhimpunan haram di Padang Merbok, tindakan tegas tetap akan diambil terhadap pihak penganjur.

"Kami akan mengambil tindakan terhadap penganjur itu seperti mana sedia maklum di bawah Akta Perhimpunan Aman. Kami akan mengambil tindakan-tindakan susulan," katanya.

-BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan