Seorang Pelajar Malaysia Maut, Empat Cedera Dalam Kemalangan di Jordan

Diterbitkan: Sabtu, 22 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia maut manakala empat lagi cedera apabila kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam gaung di jalan antara Petra dan Aqabah kira-kira 320 kilometer dari Aman, Jordan pada Jumaat.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, kemalangan yang berlaku antara pukul 5 dan 6 petang (waktu Jordan) itu meragut nyawa Sumaiyah Romli, pelajar tahun satu bidang astronomi fizik University College London (UCL) tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Pelajar yang cedera ialah Muhammad Nazirul Mubin Nasruddin, Mohamad Shukri Alias, Nur Ili Dayana Mazlan @ Masgelan dan Humairak Ibrahim.

Muhammad Nazirul dan Humairak merupakan pelajar tahun tiga dalam bidang ekonomi dan perbankan Islam di Universiti Yarmouk manakala Muhamad Shukri juga pelajar tahun tiga di universiti yang sama.

Nur Ili Dayana pula pelajar tahun empat di UCL tajaan Bank Negara Malaysia.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Queen Rania Abdullah di Petra.

Kenyataan itu menyebut Pejabat Pendidikan Malaysia di Jordan dan Pejabat Penasihat Pendidikan dan Latihan JPA telah memeriksa keadaan semua mangsa dan dalam proses menguruskan jenazah serta mangsa yang cedera.

Keluarga mangsa yang meninggal dunia telah pun dimaklumkan.

Sementara itu, Rohana Jaafar, guru Sumaiyah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma di Alor Setar, Kedah menyifatkan Allahyarham seorang yang disenangi guru dan disayangi rakan.

"Allahyarham sejak kecil memang bercita-cita untuk menjadi ahli astronomi dan menjadikan Datuk Dr Mazlan Othman sebagai idola.

"Arwah memang seorang yang matang dan sangat suka bercerita berkaitan astronomi, dan saya sendiri pernah menghadiahkan artikel berkaitan astronomi kepada Sumaiyah," katanya.

Rohana juga berkata Sumaiyah merupakan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga.

Katanya, beliau dimaklumkan pemergian kesemua pelajar itu ke Jordan bukan semata-mata untuk bercuti, sebaliknya untuk menjejak sejarah para Anbia dan melihat sendiri peninggalan sejarah Islam seperti yang tercatat di dalam Al-Quran.

-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan