Penyakit 'Hati Angkuh' Punca Pembangkang Anjur Perhimpunan

Diterbitkan: Sabtu, 22 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyakit 'hati angkuh' yang dihidapi pemimpin pakatan pembangkang terutama Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan punca mengapa pakatan itu tidak mahu menerima keputusan pilihan raya umum ke-13 dan menganjurkan perhimpunan di Padang Merbok.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kerana penyakit itu pembangkang sengaja membutakan mata mereka terhadap keputusan rakyat pada pilihan raya umum lepas dan tetap meneruskan perhimpunan itu walaupun tahu ia bakal mengundang keresahan warga kota.

"Orang seperti ini memang sentiasa nak cari kaedah nak jadikan negara ini kucar kacir, kita bagi Stadium Merdeka untuk mereka berhimpun tapi mereka tak mahu kerana penyakit hati angkuh, Stadium Merdeka orang tak nampak mereka nak terpekik sana sini.

"Mereka sengaja mencari kaedah untuk mengucar-kacirkan negara, nak susahkan dan tipu rakyat, inilah penyakit hati mereka. Hati busuk atau sakit hati kita boleh tolong ubat, tetapi sakit hati angkuh ini susah nak cari penawarnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengundian Unit Rumah Kerinchi Residensi di sini, Sabtu.

Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr J Loga Bala Mohan dan Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Empat Tingkat Kampung Kerinchi Ahmad Rahman.

Kerinchi Residensi merupakan projek pembangunan semula Rumah Pangsa Empat Tingkat Kampung Kerinchi di sini yang melibatkan pembangunan 473 rumah setiap satunya berkeluasan 900 kaki persegi dengan kos kira-kira RM600 juta. Projek itu dijangka siap pada April 2016.

Tengku Adnan turut menasihatkan Anwar supaya menerima hakikat bahawa anggota Parlimen Permatang Pauh itu tidak dipilih rakyat untuk menjadi perdana menteri dan menghentikan perbuatan yang menyusahkan hidup rakyat.

"Seperti projek Kerinchi Residensi ini ada 35 penduduk asal yang tak mahu terlibat dengan projek pembangunan semula kerana termakan kata-kata manis pembangkang, akhirnya mereka terlepas peluang miliki rumah selesa bernilai RM500,000 diberi kerajaan dengan pertukaran dengan rumah lama mereka.

"Selain Kampung Kerinchi kita ada projek pembangunan semula seperti di Kampung Baru dan kawasan perumahan tentera lama di Jalan Ipoh yang mahu kita bangunkan untuk memberi kehidupan lebih baik untuk warga kota," katanya.

Di KOTA BELUD, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang mendakwa mereka yang terkorban semasa perhimpunan itu sebagai mati syahid adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan huru-hara.

Beliau yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah berkata rakyat sepatutnya berhati-hati dalam setiap perbuatan dan tidak mengikut perasaan bagi menjaga keharmonian negara yang berbilang kaum dan agama.

Terdahulu, Abdul Rahman merasmikan majlis penutup Konvensyen Pasukan Bomba Sukarela dan menyampaikan geran bantuan pentadbiran sejumlah RM3,000 kepada setiap 37 pasukan bomba di Dewan Masyarakat Tun Said di sini, Sabtu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan