Kualiti Udara Di Kota Tinggi, Pasir Gudang Semakin Pulih

Diterbitkan: Sabtu, 22 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kualiti udara di seluruh negara petang ini mencatat penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dengan Kota Tinggi dan Pasir Gudang, kini keluar daripada paras berbahaya.

Kota Tinggi yang sebelum ini mencatat IPU pada tahap berbahaya iaitu 323, kini merekodkan bacaan 226 iaitu pada paras sangat tidak sihat.

Sementara Pasir Gudang yang sebelum ini merekod paras berbahaya dengan bacaan IPU 310, kini turun pada bacaan 189, iaitu paras tidak sihat.

Walau bagaimanapun menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), sehingga 5 petang tadi Bukit Rambai, Melaka dan Port Dickson di Negeri Sembilan mencatat peningkatan IPU ke tahap sangat tidak sihat berbanding sebelum ini.

Bukit Rambai kini mencatat IPU 257, Port Dickson 205 dan Muar yang sebelum ini merekodkan penurunan IPU, kini mencatat peningkatan kepada 271 IPU berbanding 193, pada tengahari.

Semalam Muar mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu di paras berbahaya dengan bacaan 383.

Kawasan-kawasan lain masih mencatatkan IPU antara baik dan sederhana.

Berdasarkan indeks kualiti, bacaan antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Setakat hari ini, 600 sekolah di beberapa kawasan di Johor terpaksa ditutup, membabitkan 319,341 murid.

Antaranya 40 sekolah menengah (SM) dan 171 sekolah rendah (SR) di daerah Muar; di Batu Pahat (31 SM, 144 SR); Pasir Gudang (35 SM, 70 SR); Pontian (15 SM, 82 SR) dan Kota Tinggi (12 SM, 10 SR) telah diarah tutup sehingga makluman lanjut.

Sementara sekolah di Melaka juga dimaklumkan akan ditutup sekiranya bacaan IPU negeri itu melebihi paras berbahaya.

Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) turut memaklumkan jumlah pesakit akibat jerebu di negeri itu terutama masalah 'Upper Respiratory Tract' (URTI) meningkat sebanyak 21 peratus minggu ini berbanding minggu sebelumnya.

Jadual penerbangan pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (Mas) turut dimaklumkan tidak terjejas sehingga kini, namun pelan kontigensi tetap disediakan sekiranya keadaan jerebu bertambah teruk.

-BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan