Suhakam Kemuka 8 Syor Lindungi Mangsa Pemerdagangan Manusia

Diterbitkan: Jumaat, 21 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengemukakan lapan syor dalam usaha memberi perlindungan lebih baik kepada mangsa pemerdagangan dan penyeludupan manusia.

Dalam satu kenyataan di sini Jumaat, Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata lapan syor itu ialah:

*Kerajaan diminta mengukuhkan mekasnisme berhubung dengan pendakwaan ke atas pesalah, perlindungan ke atas mangsa dan pencegahan insiden baharu penyeludupan menerusi kerjasama dengan kumpulan masyarakat sivil dan misi diplomatik serta pihak berkepentingan serantau dan antarabangsa.

*Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu disediakan satu saluran untuk menawarkan kepakaran mereka kepada Majlis bagi Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) kerana ramai mangsa lebih cenderung mendapatkan khidmat mereka untuk bantuan.

*Semua mangsa perlu disediakan dengan pemeriksaan kesihatan serta-merta setibanya di pusat perlindungan serta lawatan berkala oleh kakitangan perubatan.

*Mangsa perlu dimaklumkan status kes mereka dan sebuah mahkamah khas diwujudkan bagi mempercepatkan penyelesaian kes berkaitan anti-pemerdagangan orang.

*Kerajaan diminta menyediakan latihan intensif untuk meningkatkan kemahiran pegawai penguatkuasa undang-undang di seluruh negara, terutamanya di barisan hadapan mengenai cara untuk mengenalpasti mangsa yang disyaki dalam penyeludupan manusia.

*Kerajaan perlu meminda Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dengan membenarkan mangsa menerima pampasan dan bekerja sementara menunggu penyelesaian kes mereka; mewartakan rumah perlindungan yang dikendalikan NGO, memberikan penjelasan yang lebih terperinci mengenai kes penyeludupan manusia dan penyeludupan migran iaitu Seksyen 12 dan 13 di bawah Akta ATIP; serta penjelasan mengenai peranan suruhanjaya dan keanggotaannya dalam MAPO.

*Kerajaan diminta mengkaji semula Seksyen 2(1) Akta Kerja 1955 yang membenarkan 'kontraktor bagi buruh' yang mungkin boleh mengakibatkan eksploitasi pekerja oleh pihak agensi pengambilan pekerja dan majikan.

*Kerajaan perlu menyertai Konvensyen Antarabangsa Hak Asasi Semua Pekerja Migran dan Ahli Keluarga Mereka serta konvensyen berkaitan dengan status pelarian.

Dalam pada itu, Hasmy berkata suruhanjaya itu turut melahirkan kebimbangan apabila sekali lagi bagi tahun keempat berturut-turut Malaysia diletakkan di kedudukan kedua Senarai Pemerhatian (Tier 2, Watch List) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dalam laporan Antipemerdagangan Orang (ATIP) 2013 kerana kegagalan mematuhi sepenuhnya standard minimum untuk membanteras aktiviti pemerdagangan di bawah Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat 2000 (TVPA). "Pihak Jabatan Negara AS mengaitkan kedudukan Malaysia ini dengan kekurangan kemajuan signifikan yang dibuat oleh kerajaan dalam menangani pemerdagangan orang di Malaysia berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Katanya, dalam hasil laporan ATIP 2013 itu Jabatan Negara AS memberikan penilaian terhadap rekod pemerdagangan manusia di Malaysia termasuk usaha yang diambil kerajaan dalam tiga aspek utama iaitu pendakwaan, perlindungan dan pencegahan yang sebahagian daripada isu berkenaan pernah diutarakan Suhakam.

Sehubungan itu, Hasmy berkata memandangkan Malaysia merupakan negara destinasi dan transit bagi kebanyakan pekerja migran, suruhanjaya itu menyeru kerajaan supaya mempertingkatkan usaha dalam memberi perlindungan yang lebih baik kepada mangsa pemerdagangan orang dan penyeludupan di semua peringkat.

"Selari dengan standard antarabangsa yang ditentukan oleh Protokol Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk mencegah, menyekat dan menghukum pemerdagangan orang terutama dalam kalangan wanita dan kanak-kanak," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan