Isu Air: Kerajaan Kedah Hantar Surat Rasmi Kepada P.Pinang

Diterbitkan: Jumaat, 21 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JERLUN: Kerajaan Negeri Kedah akan menghantar surat rasmi kepada kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung soal penjualan air mentah dari negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata surat yang akan dihantar dalam tempoh terdekat itu adalah proses permulaan bagi membincangkan isu tersebut sebelum rundingan dibuat antara kedua-dua kerajaan negeri.

Beliau berkata sebelum ini kerajaan negeri pimpinan PAS telah menghantar surat sama kepada Pulau Pinang tetapi ia hanya melibatkan Exco kerajaan negeri sahaja dan tidak sampai kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

"Saya akan lihat balik (mengenai permohonan terdahulu) dan kita akan lanjutkan perkara itu. Saya tak mahu politikkan isu air ini.

"Saya akan pastikan permohonan isu penjualan air kepada Pulau Pinang mengikut lunas-lunas perundangan dan akan berbincang perkara tersebut dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK)dan Penasihat Undang-undang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Semula Rumah-rumah Siap Dibaik pulih di Wisma Umno Jerlun di sini Jumaat.

Mukhriz berkata beliau turut berterima kasih kepada bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang menyokong tindakannya untuk meneruskan tuntutan pembayaran air mentah.

Kenyataan Phahrolrazi dalam sebuah akhbar menyifatkan penjualan air mentah kepada Pulau Pinang bukan bersifat politik tetapi berdasarkan hak dan kawajaran negeri ini mendapat bayaran menerusi penjagaan sumber air mentahnya.

Mukhriz berkata pihaknya juga mahu mendengar jawapan daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi membolehkan isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

"Sebelum ini seorang Exco Pulau Pinang yang mewakili DAP dalam sidang Dewan Undangan Negeri telah mengemukakan isu tersebut dan mahu dibawa ke Parlimen untuk mendapatkan jawapan dari kementerian terlibat.

"Saya menantikan jawapan yang bakal diberikan oleh kementerian tersebut," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan