195 Sekolah Di Kota Tinggi, Pontian Ditutup

Diterbitkan: Jumaat, 21 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Jabatan Pelajaran Negeri Johor mengeluarkan notis mengenai penutupan kira-kira 195 sekolah di Kota Tinggi dan Pontian kerana keadaan jerebu semakin buruk.

Pengarahnya, Mohd Nor A Ghani berkata, penutupan sementara itu akan melibatkan kira-kira 71,097 pelajar di kedua-dua daerah.

"Kami telah memaklumkan kepada ibu bapa pelajar menerusi sekolah dan jabatan pelajaran di daerah masing-masing," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, penutupan sementara itu melibatkan 97 buah sekolah di Kota Tinggi dan 98 lagi di Pontian.

"Kami juga memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johor Baru dan Kulaijaya yang turut meningkat sejak Khamis dari semasa ke semasa.

"Kesemua sekolah di dua daerah itu mungkin diarahkan tutup tetapi kami akan membuat pengumuman rasmi mengenainya dalam masa terdekat," kata Mohd Nor.

Sementara itu, Pengurus Besar Perbadanan Pelabuhan Johor, Muhammad Razif Ahmad berkata, aktiviti berjalan seperti biasa di pelabuhan Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas.

"Kami sentiasa memantau situasi ini dan mengarahkan semua kakitangan dan mereka yang terlibat dalam operasi di pelabuhan untuk memakai topeng penutup hidung dan menetapkan garis panduan keselamatan," katanya dalam satu kenyataan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan