MRT: Sebahagian Jalan, Lorong Bukit Bintang Ditutup Sebelah Malam 23 Jun

Diterbitkan: Rabu, 19 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebahagian Jalan Bukit Bintang akan ditutup buat sementara waktu bermula pukul 10 malam pada 23 Jun hingga 6 pagi esoknya bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan projek MRT.

Menurut kenyataan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), penutupan itu membabitkan jalan sepanjang 100 meter di depan premis bekas bilik pameran Porsche sebelum bangunan LTAT.

Kenyataan itu juga menyebut penutupan sementara dua lorong di Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) berhampiran susur keluar 702 persimpangan Hulu Langat(menghala Kajang) dilanjutkan.

Penutupan sebahagian lorong di jalan susur yang sebelum ini dilaksanakan dari 9 hingga 14 Jun lepas kini dilanjutkan sehingga 6 Julai 2013, manakala penutupan sementara lorong paling kanan di jalan susur lebuh raya berkenaan yang sebelum ini dilaksanakan dari 14 hingga 22 Jun kini dilanjutkan sehingga 6 Julai.

Sementara itu, lorong paling kiri Lebuhraya SPRINT (menghala KL) akan menjalani penutupan percubaan selama 24 jam bagi tempoh seminggu bermula 24 hingga 30 Jun 2013 bagi membolehkan MRT Corp dan kontraktornya mengkaji kesan penutupan ke atas aliran trafik di lebuh raya berkenaan.

Menurut kenyataan itu, jika didapati penutupan itu memberi kesan minimum terhadap aliran trafik, jalan berkenaan akan ditutup terus selama lima bulan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan