Kabinet Lulus Tubuh Mahkamah Koroner, Lokap Berpusat

Diterbitkan: Rabu, 19 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada pada Rabu memutuskan penubuhan Mahkamah Koroner dan lokap berpusat di setiap negeri di seluruh negara bagi membendung kes kematian dalam tahanan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat dengan persetujuan Kabinet dan secara rasmi telah diluluskan mahkamah.

"Cadangan kita untuk menubuhkan Mahkamah Koroner diluluskan oleh mahkamah.

"Kabinet juga bersetuju untuk membina lokap berpusat di setiap ibu negeri. Bagi ibu negeri yang besar ia akan ditambah di daerah atau kawasan tertentu," katanya pada sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan Datuk Paul Low di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Ahmad Zahid berkata perkara ini diputuskan setelah beliau bersama Nancy dan Paul mengadakan mesyuarat bersama bagi membentuk sebuah jawatankuasa menangani isu dan polemik yang berlaku dalam masyarakat.

Katanya, keputusan ini menunjukkan bahawa Kabinet telah bertindak dengan segera dan sensitif dengan keadaan semasa terutama dalam menangani isu kematian dalam tahanan.

"Ketiga-tiga kami telah diberi satu penanda aras yang baru," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (Suruhanjaya Integriti) juga akan diperkuatkan fungsinya kerana masih ramai yang berpendapat terdapat banyak kelonggaran.

"Beberapa bidang di dalamnya akan diperkukuhkan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai lokap berpusat, Ahmad Zahid berkata terdapat hanya lima buah lokap berpusat pada masa kini.

Beliau berkata pihaknya sedang menunggu bajet yang akan diperuntukkan bagi melaksanakan perkara ini termasuklah menentukan prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap lokap yang dibina.

"Kita menjangkakan perbelanjaan tidak melebihi RM25 juta yang diperlukan untuk semua lokap di seluruh Malaysia,"katanya.

Sementara itu, Nancy yang mengulas lanjut mengenai Mahkamah Koroner berkata seorang pakar perubatan akan dilantik di mahkamah ini.

"Kita telah bawa ke Kabinet supaya setiap Mahkamah Koroner dapat dilantik pakar perubatan dalam bidang forensik.

"Ini adalah satu cara paling efektif untuk menangani masalah kematian dalam tahanan," katanya.

Nancy berkata pelaksanaan Mahkamah Koroner akan dilakukan secepat mungkin terutama di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Ia boleh dilaksanakan secepat mungkin kerana proses ini tidak memerlukan pertukaran undang-undang.

"Ia hanya melibatkan proses pentadbiran dan pelantikan Koroner dan pakar perubatan forensik yang akan berkerjasama," katanya.

Sementara itu, Paul berkata beliau akan memastikan Suruhanjaya Integriti akan diperkukuhkan dan lebih efektif.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan