KDN Rangka Mekanisme Kurangkan Banduan Warga Asing - Ahmad Zahid

Diterbitkan: Selasa, 18 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NIBONG TEBAL: Kementerian Dalam Negeri sedang merangka mekanisme untuk mengurangkan jumlah tahanan warga asing dalam penjara di negara ini termasuk pertukaran banduan.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini terdapat 39,144 banduan dalam penjara di seluruh negara dengan 29.4 peratus adalah warga asing.

"Kos sehari yang dibiayai kerajaan adalah lebih kurang RM35 untuk setiap banduan dan ini adalah satu jumlah yang besar," katanya kepada pemberita di sini, Isnin, selepas perasmian Penjara Seberang Perai Pulau Pinang oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abas.

Ahmad Zahid berkata kebanyakan kesalahan banduan warga asing adalah tidak memiliki pas pekerja yang sah atau tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan.

Katanya Malaysia sedang dalam peringkat akhir perbincangan dengan Thailand untuk proses pertukaran banduan dan langkah itu akan diperluaskan dengan Indonesia.

Beliau berharap kos pembiayaan banduan warga asing dapat dikurangkan supaya wang itu dapat digunakan untuk rakyat Malaysia.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata sebahagian besar banduan di Malaysia adalah kesalahan melibatkan dadah.

Katanya usaha pencegahan dan pemulihan bekas banduan harus dilakukan oleh pelbagai pihak termasuklah agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

"Jabatan Penjara Malaysia bertanggungjawab untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam mengurangkan kadar residivis itu kemasukan semula (bekas banduan ke penjara atau pengulang laku jenayah) tidak melebihi paras 10 peratus," katanya.

Katanya sehingga Jun tahun ini jabatan berjaya mengekalkan kadar residivis pada paras 7.97 peratus. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan