GST Harus Dilaksanakan Secara Berperingkat - Dr Mahathir

Diterbitkan: Selasa, 18 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), jika dilaksanakan, haruslah dilakukan secara berperingkat, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Selasa.

"Semuanya harus dilakukan secara berperingkat, perlahan-perlahan, bukan jumlah sepenuhnya sekali gus, bagi faedah rakyat," kata beliau kepada pemberita pada Forum CEO Yayasan Kepimpinan Perdana 2013.

Pakar-pakar ekonomi berpendapat, sekarang adalah masa yang sesuai untuk melaksanakan GST sebagai sebahagian daripada usaha menambah pendapatan kerajaan.

Ketua Pakar Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd, Nor Zahidi Alias, sebelum ini berkata, ketika kerajaan dilihat akan mempercepatkan pelaksanaan GST, langkah-langkah sampingan harus diambil untuk melindungi golongan berpendapatan rendah daripada kesannya.

"Keseluruhannya, pelaksanaan GST itu baik. Saya rasa kerja-kerja perhubungan awam perlu dilakukan lebih sedikit tentang GST ini dan kita tidak harus bersikap terlalu idealistik dengan berkata ia tidak akan menyebabkan inflasi. Ia akan menyebabkan inflasi," tegas Nor Zahidi.

Mengenai sasaran kerajaan untuk mengurangkan lagi defisit fiskal dalam Bajet 2014, Dr Mahathir berkata ia adalah langkah yang baik dan ia menunjukkan bahawa kerajaan sedang bergerak positif ke hadapan.

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Bajet 2014 akan dibentangkan di Parlimen pada 25 Oktober.

Najib juga mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Dasar Fiskal yang bertujuan mengurangkan defisit fiskal, memperkukuhkan kewangan awam dan memastikan kelestarian fiskal negara bagi jangka panjang.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau akan mempengerusikan jawatankuasa itu, yang akan merangkumi menteri-menteri Kabinet yang terpilih dan ketua-ketua jabatan.

"Jawatankuasa ini akan dipertanggungjawabkan kepada pejabat dasar fiskal di Perbendaharaan. Ini bertujuan menegaskan kesungguhan dalam menguruskan kedudukan fiskal kita dan mengurangkan defisit fiskal kita," kata beliau dalam ucapan pembukaannya pada sesi Konsultasi Bajet 2014. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan