RCI Sabah: Lelaki Dari India Dengan Kad Pengenalan Malaysia Mahu Kekal Di Sini

Diterbitkan: Isnin, 17 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Seorang warga India yang mendapat kad pengenalan Malaysia hanya dua tahun selepas tiba di Sabah memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja bahawa dia mahu kekal di Malaysia tidak kira apa yang berlaku.

Peer Mohamad Kadir, 53, berkata, dia tiba di Sabah pada tahun 1984 menggunakan pasport India dan mendengar tentang program di mana warga asing diberikan kad pengenalan Malaysia tetapi tidak berjaya dalam permohonan.

"Saya hanya memohon melalui bapa saudara pada tahun 1986, dan mendapat IC plastik biru sekitar tahun 1986 dan kemudian IC 'Bunga Raya'," katanya, Isnin.

Peer berkata dia mendapat IC dengan kod '12' di atasnya yang menunjukkan kelahiran di Sabah, dan kemudian kad pengenalan ditukar kepada MyKad biru selepas ia hilang pada tahun 1992.

Apabila ditanya nombor '12' tidak boleh dicetak dalam kad pengenalan dan maklumat itu tidak betul serta tidak mengikut undang-undang, Peer enggan menjawab.

Peer berkata dia tidak mahu dihantar pulang ke India dan mahu berada di Sabah kerana sudah mempunyai keluarga dan dua orang isteri yang berbangsa India dan Filipina serta empat orang anak di sini.

"Saya suka berada di sini dan mahu kekal di sini, saya tidak tahu apa yang akan berlaku tetapi saya mahu terus berada di sini," katanya.

Peer adalah antara beberapa orang warganegara daripada kaum India Muslim yang berdaftar dengan Dewan Perniagaan India Muslim Sabah yang dikatakan pendatang tanpa izin di salah sebuah portal berita dalam talian, Sabahkini.

Dia adalah pengundi berdaftar yang mengundi lebih daripada empat kali termasuk pada pilihan raya kecil, dan juga merupakan ahli RELA dan penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan