Operasi Mencari Di Kawasan Runtuhan Penebat Kilat Diteruskan

Diterbitkan: Ahad, 16 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Kerja-kerja mencari mangsa yang dipercayai tertimbus bersama keretanya dalam kejadian ribut di Jalan Macalister pada Khamis lepas sedang dijalankan, Ahad. -fotoBERNAMA
Kerja-kerja mencari mangsa yang dipercayai tertimbus bersama keretanya dalam kejadian ribut di Jalan Macalister pada Khamis lepas sedang dijalankan, Ahad. -fotoBERNAMA

GEORGE TOWN: Pasukan mencari dan menyelamat meneruskan kerja-kerja mengorek di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister di sini bagi mencari mayat mangsa seorang penjual nasi yang dikenali sebagai Lim Chin Aik.

Kerja-kerja menggali yang dijalankan bomba, pekerja kontraktor dan polis itu bermula pada pukul 8 pagi ini dan ia akan diteruskan sehingga mayat mangsa dijumpai.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Azmi Tamat berkata pasukan mencari dan menyelamat menjalankan kerja menggali sejak petang semalam dan berhenti pada pukul 6 pagi Ahad sebelum disambung semula.

"Kerja-kerja mencari dan menyelamat diteruskan 24 jam hari ini dan hanya akan dihentikan selepas jumpa mayat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Katanya 20 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

Azmi berkata setakat ini pasukan mencari dan menyelamat menjumpai beberapa serpihan kereta seperti tayar dan papan pemuka.

Pada Sabtu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan nombor casis kereta yang ditemui di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister di sini sepadan dengan kereta milik penjual nasi itu.

Beliau berkata penemuan itu sekali gus merungkai laporan kehilangan seorang lelaki berusia 44 tahun sejak hari kejadian Khamis lepas.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati pasukan mencari dan menyelamat telah mengorek lubang sedalam tujuh meter di kawasan dipercayai mangsa tertimbus.

Bagaimanapun, kerja-kerja mencari mangsa menjadi sukar berikutan struktur tanah mendap selain kawasan dilimpahi air kerana paip bawah tanah pecah akibat runtuhan berkenaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan