Panglima Baharu Tentera Darat Sedar Pikul Tugas Mencabar Pertahan, Jaga Kedaulatan Negara

Diterbitkan: Jumaat, 14 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor melihat pelantikannya sebagai Panglima Tentera Darat yang baharu berkuat kuasa pada Jumaat sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar kepada negara.

Katanya, beliau sedar pangkat tersebut menuntut beliau memikul satu tugas besar dan mencabar dalam menjadikan pasukan Tentera Darat sebagai benteng utama pertahanan negara sekali gus menjaga kedaulatan negara.

"Mulai saat ini maka terpikul di bahu saya satu amanah, satu tanggungjawab besar lagi mencabar kepada saya.

"Besar kerana ia amanah Allah kepada saya dan mencabar kerana saya dituntut khusus oleh pimpinan serta warga Angkatan Tentera Malaysia dan negara amnya untuk menjadikan Tentera Darat sebagai organisasi yang mampu menunaikan tanggungjawab sebagai benteng utama pertahanan negara ke tahap yang tiada komproni," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Tugas Panglima Tentera Darat di auditorium Wisma Pertahanan dekat sini, Jumaat.

Majlis pemakaian pangkat disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut menyaksikan upacara penyerahan tugas.

Raja Mohamed Affandi, 56, yang menggantikan Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata beliau akan memberikan yang terbaik dengan pelantikannya sebagai Panglima Tentera Darat ke-25 ini.

Manakala Zulkifli, 52, dilantik sebagai Naib Canselor di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Raja Mohamed Affandi menegaskan bahawa beliau akan meletakkan tugas ini sebagai satu kepentingan yang melebihi kepentingan lain.

"Saya terima cabaran ini dengan penuh iltizam untuk memberikan yang terbaik.

"Saya akan mengabadikan diri saya kepada Tentera Darat untuk mewujudkan suasana aman dan memberikan manfaat kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengajak seluruh warga Tentera Darat agar berdiri teguh bersama-sama beliau.

Katanya acuan untuk mencapai kejayaan telah dirintis oleh panglima-panglima sebelum ini.

"Marilah kita berganding bahu meletakkan Tentera Darat di tempat yang sepatutnya atau sewajarnya," katanya.

Raja Mohamed Affandi merupakan anak kelahiran Terengganu yang mengikuti latihan sebagai Pegawai Kadet di Pusat Latihan Pegawai Kadet Port Dickson selepas tamat sekolah menengah.

Beliau dilahirkan di Kg Raja, Besut, Terengganu pada 20 Jun 1957 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kg Raja di Besut sebelum menyambung pengajian di Sekolah Menengah Sultan Ismail.

Beliau telah ditauliah sebagai Leftenan Muda dalam Kor Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Mei 1977.

Pada 2008, bapa kepada tiga cahaya mata ini dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dan memegang jawatan Panglima Medan Tentera Darat.

Beliau yang gemar membaca dan bermain golf ini seterusnya menjawat jawatan Ketua Markas Angkatan Tentera Malaysia pada Oktober 2009.

Jawatan lain yang pernah disandang beliau seperti Pembantu Ketenteraan kepada Timbalan Panglima Tentera Darat, Ketua Jurulatih PUSASDA, Pegawai Memerintah 18 RAMD, Pegawai Staf 1 Bahagian Keselamatan Negara (BKN), Pegawai Staf 1 Perkhidmatan Anggota di Markas Tentera Darat, Ketua Staf 3 Markas Divisyen dan Asisten Ketua Staf Perancangan & Pembangunan serta Panglima 2 Divisyen.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan