UNHCR Diminta Percepat Proses Penempatan Warga Myanmar Ke Negara Ketiga

Diterbitkan: Khamis, 13 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia mahu Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) mempercepatkan proses penempatan warga Myanmar yang memegang kad UNHCR ke negara ketiga.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Khamis berkata, Malaysia selama ini telah membenarkan pemegang kad UNHCR warga Myanmar untuk tinggal di negara ini atas ihsan sementara menunggu UNHCR mengusahakan penempatan itu.

"Bagaimanapun, Malaysia ingin menggesa UNHCR mempercepatkan proses penempatan pemegang kad UNHCR warga Myanmar ke negara-negara ketiga," katanya dalam kenyataan di sini.

Kenyataan itu dibuat berikutan beberapa insiden keganasan melibatkan warga Myanmar di sini sejak dua minggu lepas yang setakat ini melibatkan dua kematian.

Wan Junaidi berkata, Kementerian Dalam Negeri dan Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur telah bersetuju untuk bekerjasama dalam menangani masalah itu, semasa isu itu dibincangkan pada pertemuan beliau dengan Timbalan Menteri Luar Myanmar, U Zin Yaw dan Timbalan Menteri Buruh, Pekerjaan dan Keselamatan Sosial, Daw Win Maw Tun di pejabatnya di Putrajaya.

"Kedutaan Myanmar akan menasihatkan warganegara Myanmar di Malaysia untuk menghormati dan mematuhi undang-undang dan peraturan negara ini," katanya dan menurutnya delegasi Myanmar itu sedang dalam rangka lawatan empat hari ke negara ini sejak Selasa.

Katanya, Polis Diraja Malaysia akan memantau lokasi-lokasi yang menjadi tempat tinggal atau tempat bekerja warga Myanmar bagi mencegah sebarang kejadian tidak diingini.

Sejak awal bulan ini, beberapa pergaduhan membabitkan warga Myanmar dilaporkan di pasar borong Selayang dan Kampung Baru Ampang berpunca daripada konflik agama antara orang Islam dan penganut Buddha di tanah air mereka, dengan tiga lelaki Myanmar dilaporkan terbunuh dalam pergaduhan itu.

Minggu lepas, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Amar Singh Ishar Singh memberi amaran kepada warga Myanmar yang tinggal di Malaysia supaya tidak mencetuskan ketegangan ekoran masalah politik di negara asal mereka yang boleh mengganggu-gugat keselamatan di negara ini.

Sebagai reaksi kepada insiden berkenaan, Myanmar Airways International (MAI)menawarkan diskaun 50 peratus harga tiket bagi perjalanan sehala dari sini ke Myanmar kepada RM210 seorang kepada warga Myanmar yang mahu pulang ke tanah air mereka. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan