Najib: Ekonomi Mesti Lebih Terbuka Untuk Capai Kemakmuran

Diterbitkan: Khamis, 13 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia mesti memilih ekonomi terbuka dan lebih anjal, meningkatkan pembabitan dengan rakan serantau, memperoleh pelaburan dan membuka industri untuk meningkatkan persaingan, bagi menikmati kemakmuran pada masa depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis.

Beliau berkata Malaysia juga mesti memperkukuh pelaburan domestik, memajukan syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta sebagai juara dunia dan serantau serta menyediakan ruang untuk perusahaan kecil dan sederhana tempatan untuk bersaing di peringkat dunia.

"Ini bermakna membangunkan ekonomi mampan, dengan pasaran terbuka yang membolehkan pertumbuhan dan kestabilan.

"Dan ini bermakna menarik dan membangunkan bakat yang diperlukan untuk besaing dalam dunia yang saling bersambungan," katanya semasa merasmikan persidangan Invest Malaysia 2013 di sini.

Perdana Menteri juga mengumumkan pengenalan visa pelbagai kemasukan sehingga lima tahun untuk pelabur perniagaan dan pengurus dana yang layak untuk melawat Malaysia.

Najib berkata Program Transformasi Ekonomi (ETP) mempunyai matlamat jelas mengenai jenis ekonomi yang mahu diwujudkan, termasuk merangsang pelaburan asing, meningkatkan permintaan domestik dan memastikan ganjaran pertumbuhan mampan dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.

"Dalam jangka sederhana, kita mesti menjadikan program tindakan jelas kita lebih mesra pasaran dan meritokrasi," katanya dan menambah, Malaysia mesti memberi tumpuan dalam merangsang permintaan domestik dan produktiviti bagi mengimbangi penurunan eksport utama negara.

Beliau berkata usaha untuk membangunkan Malaysia sebagai hab tenaga serantau mesti diteruskan dan bakal menyaksikan pertumbuhan memandangkan industri itu yang menyumbang lebih daripada 40 peratus kepada pendapatan negara perlu melindungi kedudukan jangka sederhana dan jangka panjang negara.

Walaupun pasaran modal Malaysia mempunyai struktur institusi dan kawal aturan yang berkualiti, Najib berkata lebih banyak lagi perlu dilakukan bagi menggalakkan penyertaan antarabangsa yang lebih besar menerusi pembukaan pasaran Malaysia kepada spektrum individu, masyarakat dan perniagaan secara lebih luas.

"Kita juga perlu menggandakan usaha untuk menyediakan produk kewangan Islam yang lebih menyeluruh dan luas serta meningkatkan usaha untuk mengantarabangsakan pasaran modal Islam," katanya.

Beliau berkata menerusi pengenalan myULM tahun depan, platform dagangan dalam talian pertama negara untuk produk sekuriti dan pelaburan alternatif yang tidak di senarai, mampu menjadi pemangkin dalam mewujudkan lebih banyak produk pasaran modal yang inovatif dan terangkum untuk pelabur.

Najib juga menggesa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, terutama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), memain peranan yang lebih penting dan meningkatkan kecerdasan pasaran, terutama dalam saham modal sederhana berkualiti tinggi, bagi meningkatkan tahap dagangan saham dan membuat sumbangan bermakna terhadap kecerdasan pasaran secara keseluruhan.

Beliau berkata penyertaan mereka akan memberi satu lagi ruang untuk syarikat mengakses pembiayaan utama dan sekunder untuk mengangkat perniagaan mereka ke tahap pembangunan berikutnya.

Bagi memenuhi keperluan industri sekuriti dan derivatif, Perdana Menteri berkata Program Wakil Graduan atau GRP 100 akan dilancarkan dalam tempoh terdekat bagi memasukkan beribu-ribu graduan baharu untuk menyokong peningkatan aktiviti pasaran.

Sementara itu, Najib berkata Malaysia akan terus memain peranan utama dalam membangunkan Asean sebagai kelas aset dengan bekerja bersama-sama negara lain di rantau ini bagi merealisasikan penyepaduan ekonomi Asean.

"Banyak yang perlu dilakukan: tahap pelaburan hutang dan ekuiti merentas sempadan kini masih rendah, dengan entiti Malaysia, Singapura dan Thailand hanya melabur sebanyak lapan peratus ekuiti dan pelaburan hutang luar pesisir masing-masing di rantau ini," katanya.- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan