Guan Eng Mahu SOP Operasi Menyelamat Diubah Suai

Diterbitkan: Rabu, 12 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang mahu prosedur operasi standard (SOP) untuk kerja-kerja menyelamat diubah suai berikutan insiden runtuhan tanjak jambatan kedua di Batu Maung Khamis lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, pakar kejuruteraan perlu dimasukkan dalam senarai pasukan penyelamat terutamanya jika membabitkan masalah teknikal dalam pembinaan.

"Kami dapati terdapat kekurangan dalam SOP pelaksanaan yang tidak cekap," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Dalam kejadian 6.40 petang Khamis lepas, tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang yang sedang dalam pembinaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini runtuh, mengakibatkan seorang terbunuh dan tiga lagi cedera.

Mayat Tajudin Zainal Abidin, 45, yang terperangkap di dalam kereta jenis Perodua Kelisa di bawah runtuhan itu berjaya dikeluarkan kira-kira 8.45 malam Jumaat.

Kejadian itu turut mengakibatkan tiga orang mengalami kecederaan. Dua daripada mereka ialah pekerja asing iaitu Slamat, 36 dari Indonesia dan warga Myanmar Tin Maung Iwin, 39.

Seorang lagi yang dilaporkan cedera ialah wanita tempatan, Thilasheni Rajendran, 24, akibat terkena serpihan runtuhan di bahagian tangan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan