PAS Perak Fail Tiga Petisyen PRU-13

Diterbitkan: Selasa, 11 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: PAS Perak menfailkan tiga petisyen pilihan raya umum ke-13 (PRU13) di Mahkamah Tinggi di sini untuk mengisytiharkan tidak sah dan membatalkan keputusan di tiga kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Misbahul Munir Masduki berkata petisyen itu membabitkan DUN Manjoi, Lubok Merbau dan Pasir Panjang.

"PAS Perak juga akan menfailkan tiga petisyen lain bagi kerusi DUN iaitu Rungkup, Manong dan Selama yang akan dikendalikan oleh peguam kita yang lain," katanya kepada pemberita.

Pada PRU13, calon PAS Asmuni Awi kalah kepada calon Barisan Nasional (BN)Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin dengan majoriti 132 undi bagi pertandingan di DUN Manjoi.

Bagi DUN Lubok Merbau, calon BN Datuk Siti Salmah Mat Jusak mengalahkan calon PAS Mohd Zainudin Mohd Yusof dengan majoriti 53 undi manakala di DUN Pasir Panjang, calon BN Rashidi Ibrahim menewaskan calon PAS Rohawati Abidin dan calon Bebas S.Vijayan dengan majoriti 304 undi.

Pada PRU13, PAS hanya menang lima daripada 22 kerusi DUN Perak yang ditandinginya manakala bagi kerusi parlimen pula, parti itu menang dua daripada lima yang ditandingi.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan