MP Pakatan Tidak Angkat Sumpah Dalam Tempoh 6 Bulan Boleh Terlucut Jawatan

Diterbitkan: Selasa, 11 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Tan Sri Pandikar Amin Mulia
Tan Sri Pandikar Amin Mulia

KUALA LUMPUR: Kesemua 222 anggota parlimen mesti mengangkat sumpah jawatan pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat bagi penggal ke-13, yang akan bermula 24 Jun ini.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata jika ada yang tidak berbuat demikian tanpa sebab kukuh, mereka akan dihalang daripada menyertai persidangan Dewan Rakyat, justeru menjadikan mereka 'strangers of the House'.

Beliau menjelaskan mengenai Peraturan Mesyuarat Nombor 1 yang menyatakan anggota-anggota parlimen perlu mengangkat sumpah pada hari pertama persidangan bagi satu penggal baharu itu setelah memilih seorang yang dipertua Dewan Rakyat.

"Jika anda tidak (berbuat demikian), anda memperolokkan peraturan anda sendiri sebagai wakil rakyat, mempersendakan Parlimen, undang-undang dan Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi taklimat bagi anggota parlimen, Selasa.

Beliau diminta mengulas mengenai rancangan anggota-anggota parlimen pembangkang untuk tidak mengangkat sumpah jawatan pada hari berkenaan sebagai tanda memboikot keputusan pilihan raya umum 5 Mei lepas.

Mengulas lanjut, Pandikar berkata mereka yang tidak mengangkat sumpah dalam tempoh enam bulan daripada hari pertama persidangan Dewan Rakyat juga akan lucut jawatan sebagai anggota parlimen secara automatik.

Sebanyak 111 anggota parlimen menghadiri taklimat hari ini termasuk seorang anggota parlimen pembangkang Er Teck Hwa (DAP-Bakri).

Ditanya mengenai ketidakhadiran anggota parlimen pembangkang yang lain, Pandikar berkata kemungkinan mereka mempunyai hal lebih penting kerana kehadiran pada taklimat itu tidak diwajibkan.

Menyentuh mengenai urusan persidangan Dewan Rakyat, Pandikar berkata Parlimen akan memperkenalkan e-Risalat dalam semua urusan mesyuarat mulai penggal ini.

Dengan ini semua penyata rasmi mesyuarat, risalat termasuk Laporan Tahunan Badan-badan Berkanun dan agensi-agensi kerajaan akan diedarkan kepada semua anggota Parlimen dalam bentuk cakera padat (CD) dan boleh dimuat turun di laman web rasmi Parlimen, katanya.

Terdahulu dalam taklimatnya, Pandikar menasihatkan anggota parlimen supaya sentiasa menjaga tatasusila dan kesopanan ketika menyuarakan pandangan atau semasa berbahas pada persidangan.

"Walaupun pilihan raya umum dan tempoh berkempen telah berakhir, tetapi suhu politik di negara kita adalah tinggi. Malah, tiada tanda-tanda bahawa ianya akan sedikit reda. Banyak isu dan permasalah rakyat telah dibangkit dan dibincangkan melalui pelbagai saluran maklumat.

"Memandangkan perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat sering menjadi fokus perbincangan rakyat di seluruh negara, anggota parlimen perlu sentiasa memelihara nilai-nilai sedemikian ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab di Parlimen," katanya.

Pandikar berkata Parlimen juga telah memohon kepada kerajaan untuk menilai, menyemak dan mengkaji semula kadar saraan bagi anggota parlimen memandangkan kali terakhir semakan saraan dilakukan ialah pada 2004.

Pada majlis itu, Pandikar turut melancarkan e-Buku Profil Parlimen Malaysia yang diterbitkan dalam bentuk CD untuk kegunaan anggota parlimen, yang menerangkan perkara yang berkaitan dengan Parlimen termasuk fungsi, tugas serta kemudahan yang boleh didapati dan digunakan di bangunan Parlimen itu.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah memberi taklimat mengenai prosedur dan perjalanan sidang Dewan Rakyat, dan Ketua Pentadbir Parlimen Datuk Lamien Sawiyo menyampaikan taklimat mengenai kemudahan-kemudahan yang terdapat di bangunan Perlimen.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata anggota parlimen pembangkang perlu hadir pada mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-13 bermula 24 Jun ini bagi melaksanakan tanggungjawab, amanah dan mandat yang diberikan rakyat kepada mereka. "Mereka perlu menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat," kata Shahidan yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Parlimen kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat itu.

Menyentuh mengenai persidangan kali ini, Shahidan berkata pelbagai kemudahan di Parlimen akan diperbaiki untuk kesenangan wakil rakyat dan juga media, serta badan-badan bukan kerajaan untuk bertemu anggota parlimen. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan