Hina Rasulullah Murtad Bentuk Baharu - Jamil Khir

Diterbitkan: Selasa, 11 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan tindakan segelintir pihak menghina junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W menerusi laman sosial sebagai satu bentuk murtad baharu.

Jamil Khir berkata beliau melihat perkembangan terkini itu sebagai satu perancangan berstrategi pihak yang tidak senang dengan Islam, kerana tindakan itu bukan sahaja merobek keharmonian antara kaum, malah mampu memesongkan akidah umat Islam di negara ini.

"Jangan kita menganggap perkara ini (menghina nabi) mempunyai satu dorongan daripada pihak yang bukan Islam, tapi daripada kelompok-kelompok (pihak) yang tidak senang dengan Islam.

"Mereka cuba wujudkan suasana tegang kerana dengan keadaan seperti itu, golongan ini dapat melakukan banyak perkara buruk dan negatif terhadap negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Tadbir Agama Daerah Peringkat Kebangsaan pada Selasa.

Sambil menegaskan pihaknya memandang berat isu itu, Jamil Khir berkata tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak berkenaan melalui jawatankuasa pemantau yang ditubuhkan di peringkat negeri dan pusat.

"Pemantauan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti polis, Jabatan Imigresen, pejabat-pejabat agama di setiap negeri ini kita akan perkemaskan lagi. Ia bukan sahaja melibatkan penghinaan terhadap Islam, malah terhadap agama-agama lain juga," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendedahkan anasir luar dan dalam negara bertindak menggunakan laman sosial bagi menggerakkan gelombang kedua untuk memurtadkan umat Islam, selepas gelombang pertama menggunakan penyebaran risalah di tempat awam dapat dikesan.

Jakim berkata daripada pemantauan 1,000 laman web dari Januari hingga Mei lalu, 4.4 peratus atau 44 laman dikenal pasti mengandungi unsur-unsur meragukan dan 31 daripadanya telah dikenakan tindakan menurut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah serta Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berkata kerajaan telah bersetuju dengan cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menaik taraf gred perkhidmatan Pegawai Tadbir Agama Daerah.

"JPA telah meluluskan berdasarkan kepada dua skim iaitu bagi kategori A di daerah-daerah terpilih, akan memiliki lima perjawatan iaitu seorang pegawai gred S48, S41 (dua orang), S32 dan S27, manakala kategori B pula akan memiliki tiga pegawai iaitu seorang pegawai S44, S27 dan S17 sebagai pembantu kumpulan sokongan di pejabat agama daerah masing-masing," katanya.

Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM775 juta pada tahun ini untuk membayar gaji kepada 14,200 imam, guru kafa (34,000), guru takmir (3,600), Pegawai Penyelaras Masjid Daerah (117), tidak termasuk baik pulih masjid dan membina masjid baharu.-BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan