RM30 Juta Susun Semula Pusat Niaga Di Cameron Highlands - Palanivel

Diterbitkan: Ahad, 9 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LIPIS: Sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi menyusun semula pusat perniagaan di Cameron Highlands agar lebih teratur, kata Anggota Parlimennya, Datuk Seri G. Palanivel.

"Kerajaan akan menyediakan gerai yang moden dan serba lengkap supaya para peniaga mendapat tempat perniagaan yang lebih selesa.

"Selain itu kita akan turut menyediakan tandas, kawasan letak kenderaan dan lain lain kemudahan pelancong dan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jelai Datuk Wan Rosdy Wan Ismail di Kampung Kuala Koyan, di sini.

Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata sebanyak 600 gerai baharu akan dibina di kawasan tanah tinggi itu dalam masa terdekat.

Beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) juga telah membina sebuah pusat pengumpulan hasil pertanian di pekan Brinchang bagi merancakkan lagi sektor pertanian di Cameron Highlands. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan