Jabatan Penjara Bakal Wujud Program Inkubator Tenun Untuk Bekas Banduan

Diterbitkan: Sabtu, 8 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Zulkifli Omar.
Zulkifli Omar.

PUTRAJAYA: Jabatan Penjara Malaysia bakal mewujudkan program inkubator untuk bekas banduan yang berkemahiran dalam membuat tenun Pahang Diraja termasuk songket dan batik.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, program ini merupakan peluang pekerjaan berdasarkan kemahiran selepas banduan dibebaskan daripada hukuman penjara.

"Kita akan sediakan satu tempat di luar seperti projek inkubator di mana tempat mereka (bekas banduan) untuk bekerja menenun dan dibayar gaji. Dan kita akan keluarkan produk itu dan pasarkannya.

"Ini merupakan hasrat Tengku Puan Pahang (Tunku Azizah Aminah Iskandariah yang menghargai usaha menjaga dan mengekalkan tradisi Tenun Pahang Diraja) dan kita akan merealisasikannya. Begitu juga dengan songket, kita ada kerjasama dengan Yayasan Tuanku Nur Zahirah," katanya ketika ditemui mStar Online pada Majlis Jalinan Kasih Bersama Media anjuran Jabatan Penjara di sini, malam Jumaat.

Zulkifli berkata, Jabatan Penjara kini sedang mempersiapkan dari segi penambahbaikan bangunan bagi melaksanakan program berkenaan.

"Lokasinya telah ada, kita akan umumkan kemudian. Kita jangka (memperkenalkan) pada Julai atau Ogos," katanya.

Ditanya mengenai peserta program, Zulkifli berkata, Jabatan Penjara merancang untuk memilih bekas banduan atau banduan yang bakal dibebaskan.

"Ini (pemilihan) akan dilakukan terutama di Penjara Penor, Penjara Bentong dan Penjara Marang," katanya.

Menurut Zulkifli, terdapat tujuan di sebalik mengeluarkan produk penjara kerana sebahagian banduan serba kekurangan dari segi pendidikan dan penglibatan mereka sebagai penjenayah.

"Di sini (menerusi program dalam dan luar penjara) kita cuba membentuk mereka supaya menjadi seorang yang sabar, mengikut peraturan dan berdisiplin.

"Dengan membuat produk penjara seperti tenun Pahang Diraja, songket dan batik, ia memerlukan kesabaran untuk membuatnya dan kita boleh menjadikan mereka sebagai manusia yang mempunyai tingkah laku bersama manusia lain. Maka kena bersabar, mempunyai etika dan berdisiplin dalam hidup bermasyarakat," katanya.

Mengenai Majlis Jalinan Kasih Bersama Media pada malam Jumaat, Jabatan Penjara turut memberikan anugerah kepada pengamal media yang membantu jabatan melaksanakan tugas dalam bidang pemulihan dan hal ehwal kepenjaraan.

Wartawan mStar Online, Iwan Shu-Aswad Shuaib menerima Anugerah Berita Online, daripada 12 kategori anugerah yang dipertandingkan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan