Keruntuhan Tanjakan Konkrit Mungkin Berpunca Kegagalan Struktur Asas - DOSH - Berita Semasa | mStar

Keruntuhan Tanjakan Konkrit Mungkin Berpunca Kegagalan Struktur Asas - DOSH

Diterbitkan: Jumaat, 7 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Siasatan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) menumpukan pada kegagalan kerja struktur asas yang dipercayai menjadi punca keruntuhan tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang, Khamis.

Pengarah Dosh Pulau Pinang Mohd Anuar Embi berkata faktor utama kejadian itu mungkin akibat kegagalan kerja struktur asas.

"Saya tidak menolak kemungkinan lain tetapi siasatan awal kami adalah pada kerja-kerja asas struktur binaan," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak kejadian runtuhan di sini, Jumaat.

Katanya beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada kurang penyelengaraan atau pemasangan struktur asas yang tidak betul.

"Semua ini perlu dilakukan mengikut amalan kejuruteraan yang baik bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau berkata siasatan mungkin boleh berlarutan sehingga dua bulan bergantung kepada keadaannya yang rumit.

Pada Khamis, tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang yang sedang dalam pembinaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini runtuh pada kira-kira 6.40 petang.

Runtuhan itu membabitkan tanjakan konkrit dan besi penyambung di Pakej 3A iaitu di susur keluar dari jambatan itu ke lebuh raya di bahagian pulau.

Tiga orang cedera dalam kejadian itu, iaitu dua pekerja binaan Slamat, 36, dari Indonesia dan Tin Maung Iwin, 39, dari Myanmar dan wanita tempatan Thilasheni Rajendran, 24. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan