AirAsia Tidak Terganggu Dengan Rancangan Pengembangan Agresif Malindo

Diterbitkan: Rabu, 5 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Aireen Omar.
Aireen Omar.

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd terus tidak gentar dengan rancangan pengembangan agresif oleh pesaingnya Malindo Air, menyebut jaringan hubungan sebagai kekuatan utama syarikat penerbangan itu.

Ketua pegawai eksekutif AirAsia, Aireen Omar berkata, syarikat penerbangan itu tidak bimbang dengan saingan tersebut berikutan model perniagaan kedua-dua syarikat penerbangan yang berbeza.

"Tentunya kami akan memantau pesaing kami. Kami mengalu-alukan kehadiran mereka kerana mereka akan menjadikan kami lebih baik," katanya kepada Bernama.

Malindo Air dilaporkan mahu memulakan penerbangan antarabangsanya dengan penerbangan ke India dan Singapura, selepas Ogos tahun ini.

Di India, Malindo Air dikatakan meninjau untuk terbang ke New Delhi, Cochin dan Trichy dari Kuala Lumpur.

Cochin dan Trichy disebut sebagai laluan India AirAsia yang paling kukuh, sementara laluan New Delhi digugurkan oleh syarikat penerbangan, AirAsia X, berikutan kos operasi yang tinggi.

Bagaimanapun, pakar industri membayangkan bahawa AirAsia menimbangkan untuk menghidupkan semula laluan New Delhi dan Mumbai yang telah dibatalkan, untuk mewujudkan perhubungan domestik utara yang kukuh untuk AirAsia India yang akan beroperasi tidak lama lagi.

Aireen berkata, laluan AirAsia Group merentasi Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Jepun, telah mencipta jenama yang kukuh di kalangan syarikat penerbangan kos rendah di seluruh dunia, berikutan capaian jaringannya yang meluar, terutama di wilayah Asean.

"Menambah kepada kejayaan jenama kami ialah AirAsia X, AirAsia Expedia, Tune Hotels dan lain-lain entiti yang merupakan sebahagian daripada kumpulan ini.

"Kami memang menawarkan pakej perjalanan penuh untuk pelanggan kami," katanya.

Malindo Air adalah satu usaha sama antara Lion Air dari Indonesia dan NADI (Industri Aero Angkasa dan Pertahanan Kebangsaan) dari Malaysia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan