Nik Aziz Dakwa SPR Pincang

Diterbitkan: Isnin, 3 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa ada kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga memaksa badan itu dikawal selia oleh Parlimen.

Nik Aziz berkata kawalan SPR oleh Parlimen sepatutnya telah lama berlaku iaitu kira-kira 55 tahun lepas bagi mengelak sebarang penipuan yang mungkin berlaku sepanjang pilihan raya berlangsung.

"Saya nak kalau boleh SPR awal-awal diletak di bawah Parlimen. Kenapa perlu diletak di bawah pejabat Perdana Menteri sejak lebih 50 tahun lepas?" katanya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di sini, Ahad.

Akhbar hari ini melaporkan kerajaan memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu Jawatankuasa Khas Parlimen yang bebas dan dwipartisan, yang turut dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Ketika mengumumkan mengenai perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan itu diambil bagi memperkukuh kewibawaan dan kredibiliti badan pelaksana pilihan raya negara, sekali gus mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap peranan badan itu melaksanakan proses pilihan raya.

Perdana menteri turut menegaskan SPR bukan sebuah agensi mahupun jabatan kerajaan, namun ia adalah sebuah mekanisme yang ditubuhkan berasaskan peruntukan undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan yang mana anggota Parlimen mendapat perlindungan jawatan yang sama dengan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Najib berkata kerana kepentingan individu dan kelompok tertentu, sanggup melemparkan pelbagai tuduhan liar bagi menimbulkan persepsi kurang senang dalam kalangan masyarakat terhadap SPR.

Sementara itu, Anggota Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula bersetuju dengan langkah kerajaan mewujudkan sebuah badan bebas bagi melaksanakan pilihan raya yang lebih telus dan bersih.

"Saya setuju sangat. Ini satu usaha yang saya fikir kita tuntut selama ini kerana SPR seharusnya jadi badan bebas.

"Saya harap pembentukan jawatankuasa ini akan dapat merumuskan sesuatu yang lebih baik untuk masa depan politik Malaysia dengan menjadikan badan itu sebagai orang tengah antara parti yang memerintah dan parti pembangkang," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan