Jangan Terlibat Tindakan Cemar Institusi Raja Perlembagaan - Jamil Khir

Diterbitkan: Jumaat, 31 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Umat Islam diingatkan supaya mengelakkan diri daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh menggugat atau mencemar institusi Raja-Raja serta mempertikai kesucian Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebaliknya, umat Islam dan rakyat Malaysia perlu bersatu padu dengan menjunjung institusi Raja berperlembagaan bagi mengekalkan suasana aman damai.

"Janganlah ada daripada kalangan kita yang sanggup menggadai maruah dan kepentingan agama dan bangsa kerana kepentingan diri dan ideologi masing-masing serta ada yang sanggup bersubahat dengan pihak tertentu untuk mempertikaikannya atas alasan bagi mempertahankan hak asasi pihak lain.

"Ingatlah bahawa musuh-musuh Islam senantiasa berusaha memecah-belahkan umat Islam, mereka sedar kekuatan Islam selama ini banyak bergantung kepada perpaduan yang terbina erat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan khutbah Jumaat khas di Masjid Negara hari ini bertajuk 'Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Paksi Kekuatan Ummah' sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Sabtu.

Tuanku Abdul Halim turut berkenan menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut yang turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Orang kenamaan lain yang turut kelihatan ialah Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, timbalannya, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dan anggota jemaah menteri.

Tuanku Abdul Halim, 85, yang menjadi Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua, ditabalkan pada 11 April tahun lepas.

Seri Paduka pertama kali ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1970 ketika berusia 42 tahun.

Jamil Khir menarik perhatian jika umat Islam hilang integriti, hilang maruah dan diperalatkan pihak lain, maka akhirnya umat Islam akan menerima nasib yang malang lagi hina di negara sendiri.

Justeru, katanya, pengekalan Institusi Raja di negara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan Melayu Islam di tanah air sebagai warisan bangsa dan merupakan sumber kekuatan rakyat dan tempat rakyat mencari perlindungan, keadilan, memberikan kesetiaan, kecintaan dan taat setia.

"Walaupun negara kita begitu unik dengan berlatar belakang penduduk yang berbilang kaum dan agama, namun proses perpaduan ummah telah memberikan impak besar kepada pembentukan masyarakat.

"Mimbar percaya bahawa proses mengurus krisis dan pertelagahan dalam masyarakat yang berlangsung dengan pantas adalah berdasarkan kewibawaan dan kebijaksanaan pemerintahan Raja-Raja Melayu.

"Baginda dalam menyempurnakan amanah tersebut akan memastikan perpaduan ummah terpelihara, kesucian agama Islam terjaga, syiar Islam terus dikembangkan dan umat Islam terus dilindungi daripada sebarang bentuk pencerobohan," katanya.

Beliau menegaskan kedaulatan Islam dan perpaduan ummah menjadi tonggak kepada kekuatan kepimpinan dan oleh itu, tanggungjawab rakyat adalah memberikan taat setia tidak berbelah bahagi kepada baginda sebagai pemerintah negara. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan