Anggota Rakan Cop, URB Akan Ditambah Bantu Tangani Jenayah - Ahmad Zahid

Diterbitkan: Jumaat, 31 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KAJANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhasrat menambah keanggotaan Rakan Cop dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu menangani masalah jenayah dalam negara.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha itu secara tidak langsung akan membantu mempercepatkan laporan mengenai sesuatu kejadian jenayah.

"Siasatan mengambil masa kerana ia antara lain, tertakhluk kepada kerjasama orang ramai kerana polis perlukan maklumat tambahan bagi melakukan tangkapan...ia memerlukan tindakan cepat masyarakat.

"Oleh sebab itu, saya dan timbalan menteri berhasrat memperbesarkan lagi Rakan Cop, agar mereka dapat membantu bagi maklumat segera," katanya pada sidang media di ibu pejabat Jabatan Penjara Kajang, di sini Jumaat.

Terdahulu, Ahmad Zahid bersama timbalannya, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar melawat Kompleks Penjara Kajang diiringi Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.

Ahmad Zahid berkata rondaan bersama, URB dan Angkatan Tentera Malaysia juga akan diadakan dengan lebih kerap berbanding secara berskala sekarang.

Selain itu, beliau berkata lokasi kerap berlaku jenayah berulang juga akan dipantau dan dikaji secara terperinci dan akan dimasukkan ke senarai lokasi 'hotspot' sedia ada, sekiranya perlu.

Latihan khas juga akan diberikan kepada badan-badan di bawah kementerian seperti Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia bagi memotivasi mereka membantu anggota polis mencegah jenayah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan