Projek MRT Martabatkan Kebolehan Syarikat Tempatan - PM

Diterbitkan: Khamis, 30 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Projek MRT (aliran transit massa) telah membuka lembaran baharu dalam memartabatkan kebolehan syarikat tempatan dan rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata beribu-ribu peluang pekerjaan telah dicipta melalui projek itu termasuk di peringkat profesional selain berjaya menarik ramai warga Malaysia yang bekerja di luar negara untuk kembali ke tanah air.

"Kebolehan dan keupayaan yang dibawa balik ke Malaysia ini satu petanda baik kepada negara kita. Ia mampu menjana ekonomi dengan pengurangan aliran keluar mata wang dan lebih penting lagi, meningkatkan kedudukan ekonomi Malaysia dalam rangkaian nilai atau value chain," katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran mesin pengorek terowong (TBM) pelbagai ketumpatan di sini, Khamis.

Najib berkata projek MRT adalah satu lagi pencapaian bermakna dalam perjalanan negara bukan hanya untuk melakukan perubahan besar dalam sistem pengangkutan awam tetapi juga menyumbang kepada pencapaian serta hasrat untuk Malaysia ditransformasikan kepada negara berpendapatan tinggi.

Najib berkata apa yang lebih membanggakan ialah TBM yang dilancarkan itu membuktikan keupayaan syarikat tempatan dalam menjana idea yang mampu mengubah sesebuah industri.

TBM ialah hasil kerjasama syarikat tempatan melibatkan kontraktor MRT, MMC Gamuda KVMRT Tunneling Sdn Bhd dengan syarikat gergasi pembina TBM dari Jerman, Herrenknecht.

Beliau berkata kejayaan itu adalah contoh yang baik di mana Malaysia menjadi pelopor di bidang amat khusus iaitu pembinaan terowong, satu lagi industri yang dilihat akan terus berkembang di masa depan.

"Jika Malaysia terus membina keupayaan di bidang ini, satu hari nanti tidak mustahil Malaysia sendiri menjadi pendahulu industri berteknologi tinggi yang amat kompetitif di peringkat global," katanya.

Dalam pada itu, Najib merakamkan terima kasih atas kepercayaan rakyat yang terus memberi mandat kepada Barisan Nasional untuk sekali lagi menerajui negara.

Berbekalkan mandat yang diberikan, Najib berkata beliau akan memastikan semua inisiatif yang telah dilancarkan akan diteruskan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

Ini termasuk inisiatif di bawah program transformasi ekonomi dan projek MRT yang tetap diteruskan dengan pesat untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih baik khususnya kepada warga kota.

"Saya yakin projek MRT ini akan siap mengikut jadual dan akan memberi khidmat kepada rakyat pada penghujung tahun 2016," katanya pada majlis yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Azhar Abdul Hamid dan Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar.

Pelancaran apa yang disifatkan sebagai TBM pelbagai ketumpatan pertama di dunia hari ini menandakan bermulanya aktiviti pengorekan terowong di bawah Kuala Lumpur bagi Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang.

Laluan bawah tanah MRT itu sepanjang 9.5 kilometer.

Sepuluh TBM akan digunakan bagi projek itu, enam daripadanya adalah TBM pelbagai ketumpatan yang direka khusus untuk pengorekan terowong menembusi pembentukan batu kapur di Kuala Lumpur. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 24 Ogos 2017 3:30 PM

Ebba Tak Minat Jadi Jurutera

Khamis, 24 Ogos 2017 12:38 PM

Wan Sharmila Kena 'Badi' Cinta

Khamis, 24 Ogos 2017 9:00 AM

Susunan Lagu Dari Sweden Gagal Takluk Persis

Rabu, 23 Ogos 2017 3:00 PM

Shuib Sepahtu 'Kuat' Cari Duit!

Rabu, 23 Ogos 2017 12:00 PM

Ayda Jebat Impi 'Mata' Tercalon Anugerah

Rabu, 23 Ogos 2017 9:00 AM

Keghairahan Shahrol Shiro Makan Diri?

Selasa, 22 Ogos 2017 12:00 PM

Sakan! Shiha Zikir Kini Hidup Mewah

Selasa, 22 Ogos 2017 9:00 AM

Tania Hudson Tak jangka Kembali Aktif

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Kolumnis

iklan

Iklan