Empat Anggota Polis Dalam Kes N.Dharmendran Ditugaskan Di Unit Kerja Pejabat

Diterbitkan: Khamis, 30 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Empat anggota polis, termasuk seorang pegawai, yang sebelum ini menyiasat kes tembak di Bandar Tun Razak, Cheras membabitkan N.Dharmendran, kini ditugaskan di unit kerja pejabat di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur SAC Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata langkah itu bagi memudahkan laluan siasatan Bukit Aman berhubung kes kematian tahanan berkenaan di lokap.

Kematian Dharmendran, 32, di lokap IPKKL pada Selasa selepas mengadu sakit dada, didapati mempunyai unsur jenayah.

Pada Selasa, Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Mortadza Nazarene berkata polis membentuk satu jawatankuasa khas diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam usaha menangani insiden kematian mengejut tahanan di lokap.

Jawatankuasa itu, yang antara lain ditugaskan memantau tahap keselamatan dan kesihatan tahanan, akan berkuat kuasa sejurus selepas pelancarannya dalam masa terdekat.

Terdahulu, Amar Singh menyampaikan Surat Penghargaan Khas Ops Aman kepada Konstabel Muhalim Osop yang sabar menghadapi caci hamun sekumpulan peserta perhimpunan bagi membantah penahanan aktivis mahasiswa pembangkang di depan Balai Polis Jinjang Khamis lepas.

Muhalim, 22, dari Sabah, yang bertugas di balai itu pada malam kejadian, melayani karenah peserta pehimpunan dan mendengar kata-kata kesat mereka kepadanya tanpa mengambil sebarang tindakan agresif.

Perhimpunan itu bertujuan mendesak pihak berkuasa membebaskan Adam Adli Abdul Halim yang ditahan mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Amar Singh memuji tindakan Muhalim dan menyifatkan kesabaran serta kecekalan anggota polis mengendalikan perhimpunan itu perlu dijadikan teladan oleh seluruh pasukan keselamatan berkenaan.

"Kumpulan tersebut sengaja menghamburkan kata-kata kesat yang mencabar polis, tetapi beliau amat sabar dan tenang walaupun berdepan dengan cabaran besar itu.

"Ada seorang perempuan yang mendakwa dirinya peguam, menuding jari ke muka beliau, namun beliau tetap sabar dan bertindak secara profesional dengan menenangkan mereka secara baik," katanya kepada pemberita selepas majlis itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan