Dua Penumpang Bot Disangka Hilang Sebenarnya Sihat & Selamat - Keluarga

Diterbitkan: Khamis, 30 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KAPIT: Dua lelaki yang disenaraikan sebagai antara penumpang yang hilang selepas sebuah bot ekspres karam di Sungai Rajang dekat Belaga, kira-kira 155km dari sini Selasa lepas, sebenarnya masih hidup dan telahpun pulang ke rumah panjang mereka, menurut seorang anggota keluarga.

Connie Menai memberitahu pemberita di sini pada Khamis bahawa bapa saudaranya, Akong Empam, 50, dan sepupu, Hendry Linggi, 35, yang disenaraikan sebagai hilang ekoran insiden itu kini berehat di rumah panjang mereka, Rumah Panjang Berundang, Nanga Ensawi, kira-kira dua jam perjalanan dengan bot menghulu sungai dari sini.

"Selepas mendengar nama mereka disebut menerusi siaran radio malam tadi sebagai antara penumpang yang hilang, saya datang ke sini bersama-sama suami untuk membuat laporan polis bagi memperjelaskan perkara sebenar," katanya ketika ditemui di ibu pejabat polis di sini Khamis.

Menurutnya kedua-dua lelaki itu memberitahunya mereka melompat dari bot ekspres 'Kawan Mas' yang semakin karam sebelum dihanyutkan arus deras sehingga kira-kira satu kilometer sebelum krew sebuah tongkang ternampak mereka lalu menghulurkan bantuan.

"Kira-kira tengah hari Selasa lepas baru mereka sampai di rumah panjang... letih, basah dan hanya memakai seluar dalam," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan