Pasport Polikarbonat Tetap Siap Sejam Jika Tiada Gangguan Sistem

Diterbitkan: Ahad, 26 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Alias menunjukkan Pasport Malaysia yang baru dilengkapi dengan ciri keselamatan tinggi yang dipertingkatkan menerusi penggunaan muka surat data jenis polikarbonat. Foto IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
Alias menunjukkan Pasport Malaysia yang baru dilengkapi dengan ciri keselamatan tinggi yang dipertingkatkan menerusi penggunaan muka surat data jenis polikarbonat. Foto IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

PUTRAJAYA: Proses pengeluaran Pasport Malaysia berteknologi baru tetap mengambil masa sejam melainkan jika terdapat gangguan sistem yang akan memakan masa tiga hari berikutan pelaksanaan pembaharuan pasport itu yang diperkenalkan Jabatan Imigresen.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad berkata, tempoh siap pasport sehingga tiga hari itu adalah sekadar prosedur pada ketika ini berikutan penambahbaikan sistem dan penukaran mesin pengeluaran pasport yang baru di pejabat-pejabat Imigresen di seluruh negara secara berperingkat sejak minggu kedua April lalu.

“Selain daripada masalah gangguan sistem, bilangan permohonan pasport yang tinggi di sesetengah tempat turut mempengaruhi proses pengeluaran yang mengambil masa. Bagaimanapun, ada yang boleh siap dalam masa sejam seperti biasa.

“Jika sistem kembali pulih, ia akan disiapkan lebih awal dan pemohon akan dimaklumkan mengenainya. Dalam keadaan sistem normal, piagam pelanggan (tempoh sejam) dapat dicapai sekali gus memperjelaskan salah faham orang ramai terhadap Jabatan Imigresen berkaitan dengan masalah pengeluaran pasport,” katanya dalam satu temu ramah bersama mStar Online di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas rungutan daripada pemohon mengenai kelewatan Jabatan Imigresen mengeluarkan pasport baharu seperti yang dilaporkan dalam media.

Alias berkata, Jabatan Imigresen memohon maaf atas kesulitan yang dialami pemohon dan berusaha untuk membaik pulih perkhidmatan bersama-sama dengan vendor yang menyediakan sistem berkenaan.

“Wakil vendor akan ditempatkan di sesetengah cawangan Jabatan Imigresen yang sering mengalami masalah bagi membantu menyelesaikan sistem berkenaan.

“Selain itu, kakitangan Jabatan Imigresen juga akan bekerja lebih masa untuk memastikan proses pengeluaran pasport dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Jelasnya, penambahbaikan sistem dan penukaran mesin pengeluaran itu sejajar pelaksanaan pasport yang diperbaharui dengan teknologi dan ciri keselamatan tinggi bagi mengikut standard oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Mengenai cuti sekolah pertengahan tahun yang membuatkan orang ramai merancang untuk bercuti ke luar negara, Alias berkata, beliau menasihatkan agar mereka membuat persiapan lebih awal termasuk permohonan pasport.

“Sebagaimana mereka akan membuat tempahan awal untuk penginapan hotel dan tiket kapal terbang serta lain-lain untuk bercuti, mereka juga perlu mengutamakan pasport sebagai keperluan untuk mereka ke luar negara,” kata Alias.

Dalam pada itu, Jabatan Imigresen turut akan melakukan pemantauan terhadap vendor dalam memastikan sistem berkaitan proses pengeluaran pasport dapat berjalan lancar dan ditambahbaik.

Beliau berharap masalah itu dapat diatasi sebaik sahaja kesemua cawangan Imigresen dilengkapi dengan mesin pengeluaran pasport yang baru menjelang minggu kedua Jun.

“Daripada 70 pejabat Imigresen di seluruh negara, sebanyak 42 pejabat telah disediakan dengan mesin memproses pasport berteknologi baru. Bakinya iaitu 28 cawangan lagi akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Alias berkata, lokasi pejabat-pejabat Imigresen yang telah dilengkapi mesin cetak pasport berteknologi baru sepenuhnya ialah Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“Bagi di negeri-negeri lain, hanya sebahagian cawangan dilengkapi dengan mesin cetak yang baru,” katanya sambil menambah bahawa pada masa ini pejabat-pejabat Imigresen di Lembah Klang yang paling menerima kesan ekoran gangguan sistem.

Mengenai Pasport Malaysia berteknologi baru, Alias berkata, ia lebih berkualiti dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan iaitu jenis ‘Polycarbonate Biodata Page’.

Selain masih mempunyai cip bercirikan keselamatan yang tinggi, pasport itu turut mempunyai muka surat biodata yang menggunakan ‘laminate’ kepada bahan asas polikarbonat dan memaksimumkan keselamatan muka surat itu di mana antaranya adalah menerusi teknik personalisasi ukiran laser serta paparan imej ‘berhantu’ menggunakan teknologi ‘engrave’.

Alias berkata, sejak ia diperkenalkan sebulan lalu terdapat lebih 170,000 pasport berteknologi baru sudah dikeluarkan di seluruh negara.

“Bilangan itu akan meningkat kepada 220,000 pasport sebulan apabila semua pejabat Imigresen dilengkapi dengan sistem dan mesin pengeluaran yang baru. Mengenai pasport yang lama, ia masih sah digunakan,” katanya.

Pasport antarabangsa boleh digunakan sehingga enam bulan sebelum tamat tempoh.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan