Kerusi Exco Selangor: DAP Perlu Akur Keputusan Sultan

Diterbitkan: Sabtu, 25 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: PAS meminta DAP supaya akur dengan keputusan pelantikan Exco kerajaan negeri Selangor yang akan diumumkan pada minggu hadapan selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj memperkenan senarai nama tersebut.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata isu perebutan kerusi Exco sepatutnya tidak timbul memandangkan keputusan senarai akhir ahli exco akan diputuskan sendiri oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Ya memang begitulah DAP hendak (kerusi Exco) tetapi akhirnya kita ambil kira apa yang Sultan hendaklahkan?

"Bagi kita siapa jadi Exco bukan isu gaduh atau berjuang hendakkan jawatan, yang penting walau siapa pun yang menjadi Exco, dia adalah Exco Pakatan Rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Nasional Keadilan ke-9 di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai salah faham DAP berhubung dengan senarai Exco Selangor yang telah dibincangkan oleh Pakatan Rakyat.

Pada Selasa lalu, Timbalan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua mempersoalkan senarai Exco kerajaan negeri yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan memberitahu parti itu seharusnya mendapat empat kerusi Exco berbanding tiga sahaja.

Khalid turut menjelaskan DAP mungkin salah faham tentang perkara yang diputuskan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat minggu lalu, dimana Sultan Selangor masih mempunyai hak untuk memilih enam calon Melayu dan empat calon bukan Melayu.

Pada penggal ini, PAS memperoleh empat tempat di dalam Exco Selangor manakala PKR dan DAP masing-masing tiga.

Beliau turut mengakui sememangnya terdapat dua cadangan yang dikemukakan kepada Tuanku serta berpendapat Pua mungkin terlupa tentang keputusan dalam mesyuarat tersebut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan