PKR Kecam Penangkapan Tian Chua, Haris - Berita Semasa | mStar

PKR Kecam Penangkapan Tian Chua, Haris

Diterbitkan: Jumaat, 24 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam penangkapan Naib Presidennya, Tian Chua dan Pengerusi Asalkan Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim di bawah Akta Hasutan 1948.

Menyifatkan penahanan itu bermotifkan politik, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa pihak berkuasa membebaskan kedua-dua aktivis dan pemimpin Pakatan Rakyat itu serta-merta.

Selain itu Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia turut membidas tindakan polis menggunakan Akta Hasutan 1948 selepas kerajaan mengumumkan untuk memansuhkannya dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional.

"Tahun lepas Perdana Menteri mengumumkan bahawa Akta Keharmonian Nasional untuk menggantikan Akta Hasutan yang digubal penjajah.

"Dakwaan bahawa beliau mahukan rekonsiliasi nasional selepas pilihan raya baru-baru ini juga terbukti janji kosong semata-mata," katanya di sini, Khamis.

Beliau mengulas mengenai perkembangan terbaru apabila Tian Chua dan Haris masing-masing ditahan di bawah Akta Hasutan kerana didakwa menyampaikan ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah di di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada 13 Mei lalu.

Selain itu difahamkan, Datuk Tamrin Ghafar yang juga anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba turut ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jinjang.

Sebelum ini, aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim turut ditahan dan direman selama lima hari sejak Ahad lalu juga atas kesalahan yang sama.

Adam Adli, 25, yang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan didakwa di bawah Seksyen 4(1)(B) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan