Palanivel Sangkal Ada Resolusi 'Tiada Pertandingan' Untuk Pemilihan Presiden

Diterbitkan: Jumaat, 24 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri G. Palanivel menyangkal dakwaan MIC peringkat cawangan akan bermesyuarat bagi meluluskan resolusi "tiada pertandingan" untuk pemilihan jawatan tertinggi parti itu.

Sambil menyangkal beliau mengeluarkan arahan itu, Presiden MIC berkenaan berkata jika ada yang berbuat demikian, perkara tersebut adalah atas inisiatif mereka sendiri.

"Saya tidak arah mereka berbuat demikian, jika mereka buat, itu hal mereka. Jika ada yang mahu mencabar (saya), terpulang kepada mereka," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC), di sini Jumaat.

Ditanya sama ada beliau menjangka ada yang mahu mencabar kedudukannya sebagai peneraju parti, Palanivel berkata: "Saya belum memikirkan perkara itu."

Baru-baru ini sebuah portal berita melaporkan Palanivel yang juga Ketua MIC Selangor, mengarahkan semua pemimpin negeri meluluskan resolusi berkenaan kerana berasakan beliau akan dicabar pada pemilihan pucuk pimpinan parti yang dijadual bermula hujung tahun ini.

Mengenai pemilihan parti, Palanivel berkata peringkat cawangan akan bermula pada Disember ini atau Januari depan, diikuti peringkat bahagian dan seterusnya. "Pemilihan jawatan presiden akan bermula antara Januari dan Mac tahun depan, selepas itu kita adakan pemilihan untuk timbalan presiden, naib presiden dan anggota CWC serta perwakilan," katanya sambil menambah MIC akan menubuhkan jawatankuasa untuk pemilihan presiden pada November atau Disember ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan