Muhyiddin Mahu Usaha Lebih Agresif Promosi Produk Pelancongan Malaysia

Diterbitkan: Khamis, 23 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PHUKET: Pengusaha pelancongan di Malaysia perlu lebih teliti dan agresif mempromosi produk pelancongan bagi memastikan industri itu mampu terus memberi saingan kepada negara jiran.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perancangan jangka panjang yang agresif penting kerana kebanyakan produk yang ditawarkan Malaysia hampir sama dengan apa yang boleh diperoleh di negara lain.

Menjadikan industri pelancongan Phuket sebagai contoh, beliau berkata keupayaan melaksanakan promosi yang baik sehingga membawa kepada peningkatan hampir 19 peratus dari segi kedatangan pelancong ke kawasan peranginan itu tahun lepas perlu diberi perhatian dan dipelajari semua pemain industri terbabit.

"Itu satu perkara yang perlu kita ambil perhatian bagaimana mereka boleh meningkatkan jumlah kedatangan pelawat, contohnya keupayaan dari segi menarik bilangan penerbangan masuk ke Phuket yang melebihi 600 penerbangan seminggu.

"Sebagaimana yang disebutkan, apa yang ada di Malaysia ada di Phuket, malah hampir sama kecuali budaya, produk-produk lain hampir sama.

"Jadi kalau kita nak menarik lebih ramai pelancong sedangkan kita ada persaingan yang boleh dikatakan kritikal dengan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia bermakna Malaysia mesti menyediakan prasarana pelancongan dan lain-lain produk yang lebih menarik dan berkualiti supaya kita dapat meraih hasil lebih besar," katanya kepada pemberita selepas taklimat oleh Jabatan Pelancongan Thailand di sini Khamis.

Hadir sama Gabenor Phuket Mitrai Inthusut dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Taiyab.

Muhyiddin berkata keupayaan Phuket menyediakan jumlah bilik hotel lebih daripada mencukupi turut meyumbang kepada kehadiran pelancong berbanding di Malaysia yang kekurangan bilik hotel untuk beberapa kategori bintang.

Beliau juga menyarankan supaya promosi pelancongan memberi tumpuan kepada pelancong berkualiti, iaitu mereka yang boleh tinggal lebih lama dan sedia berbelanja sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan sektor berkenaan.

Sehubungan itu, Muhyiddin mahu supaya sasaran 28 juta kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 ditingkatkan sehingga 30 juta orang bagi mendorong kerja-kerja promosi dilakukan dengan lebih agresif.

"Kita telah lama buat promosi, malah Tourism Malaysia yang wujud sejak sekian juga melaksanakan tugas serupa tetapi sebagaimana kita tahu ia perlu ditingkatkan lagi, perlu lebih agresif mungkin perlu berbelanja lebih daripada biasa supaya lebih mampu bertanding dan bersaing," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan