MCA Seru Semua Rakyat Bersama-Sama Pelihara Keamanan, Keharmonian

Diterbitkan: Khamis, 23 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Semua rakyat Malaysia perlu bekerjasama untuk menjaga dan memulihara keamanan di negara ini, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata selagi semua rakyat bersatu padu dalam usaha untuk mewujudkan keamanan dan keharmonian, negara ini tidak akan terjejas oleh ideologi pelampau dan agresif yang bertujuan menggugat keamanannya.

"Kita tidak boleh membiarkan mana-mana pihak menyalahguna agama untuk tujuan politik kerana ia boleh mewujudkan kebencian dan sengketa.

"Ia akan memusnahkan perpaduan dan rakyatlah yang akan menjadi mangsanya," kata Chua dalam perutusannya sempena sambutan Hari Wesak.

Hari Wesak, yang akan disambut pada Jumaat, adalah hari penting bagi penganut agama Buddha dan kata Dr Chua banyak kuil menyambutnya sejak minggu lepas dengan berdoa bagi keamanan dan kestabilan negara.

"Pada hari yang bermakna ini, kita akan dapat melihat rakan kita yang beragama Buddha menyambut Wesak dalam suasana aman serta harmoni dan ini dengan jelas mencerminkan sikap masyarakat pelbagai budaya di negara ini yang menghormati perbezaan agama.

"MCA mengucapkan kepada semua penganut agama Buddha 'Selamat Menyambut Hari Wesak'.

"Marilah kita sama-sama berdoa sempena Hari Wesak ini agar negara kita terus makmur, bersatu padu dan dilimpahi keharmonian beragama," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan