BN, Pakatan Kaji Untuk Fail Petisyen Pilihan Raya

Diterbitkan: Khamis, 23 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan parti-parti pakatan pembangkang, masing-masing sedang mengkaji rancangan untuk memfail petisyen atau bantahan berhubung keputusan pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lepas.

Mereka mempunyai tempoh 21 hari untuk berbuat demikian mulai hari ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan keputusan rasmi PRU-13 pada Rabu.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata panel peguam parti sedang meneliti perkara terbabit.

"Kami sedang melihat kesemua kawasan yang kita menang dan kalah tipis," katanya.

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memfailkan 27 petisyen melibatkan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), menurut Naib Presidennya Tian Chua.

"Kita akan mengkordinasikan proses memfailkan petisyen itu dengan anggota pakatan kita yang lain, DAP dan PAS," katanya kepada Bernama.

PAS pula telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti maklumat sebelum mengemukakan petisyen.

Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali berkata parti itu mewujudkan jawatankuasa khas berkaitan undang-undang untuk menentukan perkara dan tindakan yang boleh diambil berhubung petisyen itu.

Sementara itu, DAP masih mempertimbang sama ada akan memfail petisyen.

"Kami dalam proses membuat keputusan dan mengumpul bukti," kata pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan Gobind Singh Deo.

Pada pilihan raya lepas, BN memenangi 133 kerusi Parlimen manakala PAS menang 21 kerusi, PKR (30) dan DAP (38). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan