Star Publications Perbaharui Portal Online Untuk Jana Aliran Perolehan Baharu

Diterbitkan: Rabu, 22 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Star Publications (M) Bhd merancang untuk membaharui portal onlinenya, The Star Online (thestar.com.my), sebagai usaha menjana aliran pendapatan baharu bagi kumpulan.

Timbalan Pengerusi Eksekutif Datuk Vincent Lee berkata portal berwajah baharu itu akan dilancarkan pada 1 Julai dengan lebih banyak kandungan interaktif.

"Kami juga merancang untuk membelanjakan kira-kira RM20 juta hingga RM30 juta bagi perniagaan digital kami untuk membangunkan model perniagaan media yang paling efektif," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan di sini, Rabu.

Beliau berkata kumpulan akan terus mengembangkan perniagaan digital dan mencipta semula beberapa produk dalam portfolionya.

"Kami akan meningkatkan portal iklan internet kami berikutan alternatif online yang kukuh serta menyusun semula myStarjob.com dan StarProperty.my," katanya.

Beliau berkata The Star, akhbar berbahasa Inggeris nombor satu negara dengan lebih 300,000 edaran, mempunyai kira-kira 50,000 pelanggan bagi ePapernya.

"Usaha kami untuk membangunkan model perniagaan media yang paling berkesan membawa kepada pengenalan ePaper integrasi saluran digital dan cetak dan yang menyediakan pendekatan baharu kepada pembaca dalam cara mereka memilih menggunakan media," katanya.

Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi pada RM259.65 juta bagi tahun kewangan berkahir 31 Disember 2012, daripada RM250.53 juta sebelumnya.

Perolehannya meningkat kepada RM1.08 bilion daripada RM1.07 bilion pada 2011. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan