PKR Pertimbang Tangguh Pemilihan Parti Tahun Ini

Diterbitkan: Rabu, 22 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin Nasution Ismail.

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka menangguhkan pemilihan parti itu yang sepatutnya diadakan pada November depan bagi memperkemaskan semula organisasi parti selepas mengharungi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, penangguhan tersebut adalah merupakan satu opsyen walaupun tempoh tiga tahun penggal pemilihan lalu yang diadakan pada 2010 akan berakhir November ini.

"Kita baharu sahaja selesai menghadapi pertempuran besar yang memakan banyak belanja, masa dan tenaga, oleh itu ada pandangan supaya parti memperkemaskan dahulu saf sebelum diadakan pemilihan.

"Tetapi kalau kepimpinan parti fikirkan bahawa PRU yang lalu tidak beri kesan kepada parti...maka ia (pemilihan parti) akan diteruskan juga," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.

Selain itu menurut Saifuddin, kepimpinan tertinggi PKR juga sedang mempertimbangkan cadangan untuk melakukan pindaan kepada perlembagaan parti berhubung proses pemilihan bagi peringkat Cabang dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk diadakan serentak.

Katanya, berdasarkan pemilihan lalu, parti berhadapan dengan masalah untuk memastikan perwakilan yang layak mengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai ahli kerana pemilihan bagi kedua-dua peringkat itu diadakan secara berasingan.

"Terdapat rungutan kerana parti hadapi masalah mobilisasi untuk minta ahli keluar mengundi dua kali pada hari yang berlainan. Dicadangkan agar pemilihan Cabang dan MPP dibuat serentak seperti pemilihan Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) dibuat pada masa yang sama.

"Tapi kalau kita mahu lakukannya, maka Perlembagaan PKR perlu dipinda menerusi satu Kongres Khas sebelum November ini," katanya lagi.

Menurut Saifuddin, MPP akan membuat keputusan berkenaan selepas Kongres Nasional Tahunan PKR ke-9 bagi tahun 2012 diadakan Sabtu ini.

"Kita mempunya masa sebelum November ini untuk mempertimbangkan kedua-dua cadangan besar tersebut," katanya.

Mengulas mengenai Kongres Nasional PKR Sabtu ini, Saifuddin berkata terdapat tiga usul yang diluluskan untuk dibahaskan oleh 16 pembahas.

Tiga usul tersebut ialah Ucapan Dasar Presiden, isu berkaitan PRU-13 dan mengenai hala tuju PKR.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan