Jainab Minta JPKA Sabah Kaji Kesahihan Perkahwinan Lelaki Dengan Mangsa Rogol Bawah Umur

Diterbitkan: Rabu, 22 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah diminta mengkaji kemungkinan mencabar kesahihan perkahwinan seorang lelaki dengan gadis bawah umur yang didakwa dirogolnya.

Ketika membuat gesaan itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Jainab Ahmad berkata kementeriannya memandang serius perkara itu apatah lagi ia melibatkan kepentingan umum khususnya dalam melindungi masa depan kanak-kanak.

Katanya JPKA perlu mengkaji kes itu daripada semua aspek termasuk kemungkinan mengambil atau memberi perlindungan kepada budak perempuan berumur 13 tahun itu di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

"Kita mahu jabatan kebajikan cabar perkahwinan itu...sebab kami masih mempersoalkan kesahihan perkahwinan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Seminar Pembentukan Imej Diri Untuk Keharmonian Keluarga di sini, Selasa.

Jainab mengulas kes di Mahkamah Sesyen di sini semalam, membabitkan seorang lelaki berumur 40 tahun yang didakwa merogol gadis bawah umur itu, yang kemudiannya memaklumkan dia telah berkahwin dengan gadis itu mengikut undang-undang Syariah.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab dan prihatin, kami amat terganggu dengan apa yang berlaku...kanak-kanak itu baru berusia 12 tahun 6 bulan...dia sepatutnya dilindungi tetapi dikahwinkan pula dengan lelaki yang merogolnya," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan