SPR Tubuh Pasukan Khas Kenal Pasti Punca Dakwat Tidak Kekal

Diterbitkan: Selasa, 21 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan pasukan khas bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum ke-13 lepas tidak kekal lama selepas dicalit.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata berdasarkan pengalaman pertama itu, SPR yang mengadakan mesyuarat hari ini, memutuskan untuk menubuhkan 'Pasukan Khas Menyemak Masalah-Masalah Penggunaan Dakwat Kekal PRU Ke-13' untuk meneliti hal-hal berkaitan dakwat kekal itu.

Beliau berkata pasukan itu antara lain akan mengkaji aspek ramuan, syarat Kementerian Kesihatan, cara penggunaan dakwat kekal dan kaedah calitan dakwat kekal di jari.

Pasukan itu juga akan meneliti hasil ujian yang telah dibuat sebelum dan selepas dakwat itu dihantar ke Malaysia. "SPR menggunakan dakwat kekal bagi mengelakkan percubaan mengundi lebih daripada sekali oleh seseorang pengundi namun penggunaan itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada parti politik, calon dan pengundi bahawa dakwat kekal itu tidak kekal lama melekat di jari pengundi," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa. Abdul Aziz berkata pasukan khas itu dijangka menyiapkan penyiasatan dalam tempoh sebulan dan ia diharap dapat membantu SPR mengenal pasti perkara-perkara yang menyebabkan dakwat itu tidak kekal lama di jari selepas dicalit.

Beliau berkata SPR juga memandang serius perbuatan pihak-pihak tertentu yang menyebarkan rakaman video, tulisan dan gambar melalui laman sosial, media cetak dan portal berita berhubung tuduhan dan dakwaan yang tidak berasas mengenai SPR.

"Antara tuduhan itu ialah warga asing mengundi dalam PRU13, kejadian lampu padam semasa pengiraan undi, berlaku tiga tong undi hilang di pusat penjumlahan rasmi undi di Putrajaya, peti undi diturunkan dari helikopter dengan tujuan memenangkan pihak tertentu. "Selain itu, kenderaan SPR membawa peti undi ke pusat penjumlahan rasmi undi dengan tujuan untuk memanipulasi keputusan pengundian, petugas SPR meminta ejen calon menandatangani Borang 14 sebelum tamat proses pengiraan undi, terdapat pengundi hantu dan pengundi dari Sabah dan Sarawak diangkut untuk mengundi di beberapa negeri," katanya.

Abdul Aziz berkata SPR mendapati semua tuduhan dan dakwaan itu tidak berasas, tidak benar dan boleh mengelirukan rakyat serta mendatangkan ketidaktentuan dalam negara.

Berikutan itu, katanya, satu laporan polis telah dibuat oleh Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria pada 16 April lepas bagi menjaga nama baik dan integriti SPR sebagai sebuah badan bebas yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan pilihan raya.

"SPR akan meneruskan sesi penerangan dan penjelasan berhubung isu-isu PRU ke-13 bagi memberikan maklumat dan fakta yang tepat kepada orang ramai melalui pelbagai kaedah termasuk media massa. "SPR juga menasihatkan orang ramai supaya menapis maklumat-maklumat yang dibaca terutama dari media sosial dan jika perlu, orang ramai boleh menghubungi SPR bagi mendapatkan maklumat yang sahih berkaitan sesuatu isu itu," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan