Omar Kaseh Dilantik KP Mampu Yang Baharu

Diterbitkan: Selasa, 21 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Datuk Omar Kaseh
Datuk Omar Kaseh

KUALA LUMPUR: Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Omar Kaseh dilantik sebagai Ketua Pengarah, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Jabatan Perdana Menteri mulai 1 Jun ini.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata pelantikan Omar adalah bagi menggantikan Datuk Mohamad Zabidi Zainal yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam mulai 15 Mac lepas.

"Saya percaya pengalaman, pengetahuan serta kredibiliti yang dimiliki oleh Omar akan membolehkan beliau menerajui Mampu dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesionalisme dalam usaha memacu pemodenan Perkhidmatan Awam bagi memastikan agenda transformasi negara dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan ke arah menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Omar, 58, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Sains Perancangan Luar Bandar dan Sumber dari Universiti Aberdeen, United Kingdom menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 26 Nov 1979.

Beliau berpengalaman dalam bidang perancangan dan pengurusan sumber manusia, pentadbiran dan kewangan serta pengurusan pembangunan daerah dan kerajaan tempatan.

Omar dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka mulai 26 Mei 2008, dan pernah menjawat jawatan Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar Saraan, Wang Awam dan Khidmat Pengurusan, Kementerian Kewangan; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Labuan, Kementerian Kewangan; Pengarah, Bahagian Pengurusan, Jabatan Kebajikan Masyarakat; Timbalan Pengarah, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Perpaduan Negara; Ketua Penolong Pegawai Daerah Klang dan Penolong Pengarah, Bahagian Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan