Jangan Politikkan Segala Tindakan Pihak Berkuasa - Ahmad Zahid

Diterbitkan: Isnin, 20 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin pembangkang supaya tidak mempolitikkan segala pelaksanaan dan tindakan pihak berkuasa dalam usaha memelihara keamanan dan kesejahteraan negara.

Pihak berkenaan boleh menghadapi risiko besar sekiranya terus berbuat demikian, katanya pada sidang media selepas memulakan tugas hari pertama sebagai menteri dalam negeri.

"(Penasihat DAP) Lim Kit Siang dan (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng harus membezakan antara objektif politik, langkah politik dengan pelaksanaan undang-undang. Jangan mempolitikkan segala pelaksanaan undang-undang yang dilaksanakan oleh IGP (ketua polis negara) atau lain-lain agensi yang berada di bawah KDN," katanya.

Ahmad Zahid berkata ketua polis negara, ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah KDN, diberi kuasa sepenuhnya bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka mengikut bidang kuasa masing-masing, tanpa campur tangan politik.

Sebarang tindakan yang dilakukan di bawah KDN tidak boleh dianggap sebagai tindakan bermotifkan politik, tetapi berlandaskan kepada asas-asas perundangan yang sedia ada, katanya.

Beliau mengingatkan bahawa kerajaan tidak lagi memberi amaran, sebaliknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bertindak di luar batasan menjejaskan ketenteraman awam negara.

"Kami tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang, akta dan enakmen yang sedia ada, katanya.

Menyentuh kenyataan pemimpin-pemimpin pembangkang berhubung beberapa perkara berkaitan kenyataan beliau baru-baru ini, soal perundangan, pilihan raya dan sebagainya, Ahmad Zahid berkata perkara itu boleh dipertikai di Parlimen.

"Sebagai orang politik, kita berjumpa di gelanggang politik, gelanggangnya bukan di jalanan, bukan di padang terbuka, tetapi di Dewan Rakyat. Jangan gunakan forum di tempat lain," jelas beliau.

Ahmad Zahid turut membidas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta beliau supaya tidak menjadikan negara ini seperti milik keluarganya.

"Negeri ini pun bukan negeri bapa dia punya. Memang bukan (milik) bapa saya. Ini (pun) bukan negeri bapa dia," katanya.

Anggota Parlimen Bagan Datoh itu dibidas kerana membuat kenyataan menggesa mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya di Malaysia supaya berhijrah ke negara di mana mereka boleh mempraktikkan kepercayaan politik mereka.

Ahmad Zahid juga berkata bagi memastikan pelaksanaan KDN berjalan lancar, cadangan, pandangan dan kerjasama padu daripada semua pihak dialu-alukan, selain kritikan dan teguran.

"Kami perlukan sokongan dan dukungan daripada masyarakat keseluruhannya, ini termasuk pemimpin-pemimpin politik, sama ada dalam kerajaan mahupun di luar kerajaan, NGO, individu dan institusi.

"Bukan sekadar memberikan maklum balas, aduan atau rungutan tetapi memberikan cadangan dan kerjasama kepada apa yang sedia ada dalam perundangan,, peruntukan yang digaris pandukan. Ia bukan untuk kepentingan politik kami," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Menteri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan