Barisan Kabinet Mantap, Penuhi Aspirasi Rakyat - Penganalisis

Diterbitkan: Jumaat, 17 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mantap dan sesuai dengan hala tuju Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi dan memenuhi aspirasi rakyat khasnya golongan muda, demikian pandangan penganalisis mengenai barisan baharu kabinet Persekutuan yang diumumkan pada Rabu.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Shamsul Adabi Mamat berkata barisan kabinet kali ini dilihat mantap kerana ada gandingan seimbang muka baharu dan orang lama yang berpengalaman.

Antara tokoh berpengalaman ialah Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Halimah Mohd Saddique manakala muka baharu ialah Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Paul Low Seng Kuan, P.Kamalanathan, Datuk Mary Yap Kain Cheng dan P. Waythamoorthy serta yang muda seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Shamsul Adabi yang dihubungi Bernama di sini, berkata pemilihan lebih ramai wakil Sabah dan Sarawak yang diberi jawatan penting di peringkat Persekutuan adalah wajar dengan mengambil kira sumbangan mereka dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lepas.

"Dari Sabah dan Sarawak kesemua 17 orang dipilih menganggotai kerajaan pusat dengan jawatan menteri dan timbalan menteri. Kabinet ini sudah pastinya mengambil kira sumbangan kedua-dua negeri itu dalam pencapaian Barisan Nasional (BN) pada PRU13. "Mereka juga diberikan portfolio penting dan strategik seperti Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Perdana Menteri," katanya. Sebelum Parlimen dibubarkan untuk PRU13, barisan kabinet dianggotai 11 wakil Sarawak dan Sabah.

Shamsul Adabi juga berkata pemilihan kumpulan teknokrat seperti Abdul Wahid dan Paul Low mengukuhkan lagi iltizam perdana menteri untuk memacu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi serta bebas rasuah. "Inilah yang dituntut rakyat supaya rasuah dihapuskan dan ia dipenuhi Najib dengan meletakkan Paul Low, Presiden Transparency International Malaysia mengetuai Biro Pengaduan Awam, selain menguruskan hal-hal berhubung rasuah dan integriti.

"Abdul Wahid yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Bhd pula akan diberikan tanggungjawab di Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan menjayakan program transformasi," katanya.

Kemahuan golongan belia, katanya, turut mendapat maklum balas positif perdana menteri dengan memilih Ketua Pemuda Umno Khairy sebagai Menteri Belia dan Sukan. Beliau juga berkata ketiadaan wakil MCA dan Gerakan dalam kabinet baharu itu telah diisi wakil dari Sabah dan Sarawak iaitu Mary Yap dan Paul Low.

Sebelum ini, MCA menerajui empat kementerian iaitu pengangkutan, kesihatan, pelancongan serta perumahan dan kerajaan tempatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Jayum Jawan menyifatkan gandingan orang lama dan baharu dalam kabinet sebagai memenuhi tuntutan pelan transformasi yang dilaksanakan perdana menteri.

"Bagi calon muka baharu, ia merupakan suntikan baharu untuk penjanaan idea dan kita harap mereka memahami kehendak masyarakat khususnya golongan muda dan perlu bekerja kuat," katanya yang juga Pensyarah Jabatan Politik dan Kerajaan, Universiti Putra Malaysia.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr P.Sivamurugan pula menyifatkan barisan kabinet kali ini merangkumi semua latar belakang.

"Saya berharap mereka yang terpilih mampu menterjemah dasar dan memperkukuh pelaksanaan agenda transformasi kerajaan. Saya juga melihat golongan teknorat yang turut dipilih mampu berperanan meningkatkan ekonomi negara dan menyumbang idea dalam kerajaan kerana mereka mempunyai kepakaran," katanya.

Pemilihan Khairy dan Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan disifatkan sebagai tepat dan contoh pemimpin pelapis yang akan meneruskan perjuangan BN dan menarik sokongan pengundi muda yang tentunya akan bertambah dalam tempoh lima tahun akan datang, katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan