Pelantikan Tujuh Wanita Bukti Kerajaan Serius Libatkan Wanita

Diterbitkan: Khamis, 16 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Rohani Abdul Karim.
Rohani Abdul Karim.

KUALA LUMPUR: Pelantikan tujuh wanita dalam Kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan Perdana Menteri serius untuk melibatkan kaum wanita dalam menjayakan agenda transformasi negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim yang juga Anggota Parlimen Batang Lupar, berkata pelantikan itu juga satu pengiktirafan dan penghargaan kepada kaum wanita bagi memimpin sesebuah kementerian.

"Bagi pihak wanita, saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana menamakan dua menteri wanita dan lima timbalan menteri dalam barisan Kabinet beliau," katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara, Khamis.

Turut dilantik adalah Nancy Shukri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azizah Mohd Dun (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat), Datuk Halimah Mohd Sadique (Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Noriah Kasnon (Timbalan Menteri Perusahan Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri Rosnah Shirlin (Timbalan Menteri Kerja Raya) dan Datuk Mary Yap (Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi).

Azizah, yang juga Anggota Parlimen Beaufort berkata pengiktirafan kerajaan terhadap wanita dalam barisan Kabinet kali ini akan mempertingkatkan lagi penglibatan mereka dalam pelbagai bidang dan tidak hanya tertumpu dalam membuat keputusan.

"Kita mahu menarik lebih ramai wanita terlibat dalam bidang keusahawanan. Sekarang ini ramai wanita menceburi bidang perniagaan, jadi kita perlu terus memberikan sokongan dan bantuan kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Tenggara Halimah berkata gandingan baru dan lama dalam Kabinet Persekutuan kali ini menunjukkan barisan yang seimbang dan mampu meneruskan agenda kerajaan dengan lebih cemerlang.

Katanya, beliau yakin Anggota Parlimen wanita yang dilantik mampu meneruskan kesinambungan pelaksanaan kerajaan untuk terus cemerlang.

Rosnah, yang juga bekas Timbalan Menteri Kesihatan, berkata komposisi wanita dalam barisan Kabinet baharu menyaksikan satu kolaborasi baik dan mampu memberi kekuatan tersendiri bagi memperkukuh usaha transformasi negara.

Mengulas portfolio beliau, Rosnah berkata menerusi gandingan bersama Datuk Fadillah Yusof, mereka akan berusaha sebaik mungkin untuk memberi tumpuan bagi membangunkan keperluan infrastruktur penduduk Sabah dan Sarawak tanpa mengabaikan negeri di Semenanjung.

Anggota Parlimen Sungai Besar, Noriah pula berkata, Perdana Menteri membuat keputusan bijaksana dan adil dengan memberi jawatan menteri kabinet kepada negeri yang menyumbang banyak kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini.

"Saya kira pembentukan Kabinet kali ini menunjukkan kebijaksanaan Perdana Menteri, yang mana kita lihat negeri yang meraih kemenangan yang banyak pada pilihan raya baru-baru ini diberikan keutamaan dalam menyertai barisan Kabinet kali ini. Ini adalah satu ganjaran dan penghargaan.

"Meskipun begitu, bagi negeri yang merosot, Perdana Menteri masih memberikan kepercayaan kepada beberapa Anggota Parlimen untuk menyertai Kabinet, jadi kami tidak boleh terus selesa, dan perlu mengambil apa yang terjadi sebagai pengajaran dan iktibar supaya kami lebih cemerlang pada masa akan datang," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan