Kepantasan ICT Cabaran Buat Khalid Terajui PDRM

Diterbitkan: Khamis, 16 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ismail bersalaman dengan Khalid ketika menyerahkan dokumen serah tugas sempena Majlis Perbarisan Perpisahan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur pada Khamis. - FotoBERNAMA
Ismail bersalaman dengan Khalid ketika menyerahkan dokumen serah tugas sempena Majlis Perbarisan Perpisahan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur pada Khamis. - FotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mula bertugas sebagai Ketua Polis Negara (KPN) pada Jumaat berkata kecanggihan teknologi komunikasi maklumat (ICT) menuntut komitmen lebih tinggi di kalangan pegawai dan anggota polis dalam mempertingkat keselamatan masyarakat.

Kerana itu, beliau berkata kemampuan memahami dan menguasai pengetahuan berhubung ICT menjadi cabaran penting kepadanya dalam menerajui tampuk kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya sedar ia bukanlah tugas yang mudah untuk disandang kerana ia berkait langsung dengan cabaran-cabaran yang perlu dihadapi dengan tabah dan bijaksana," katanya ketika menyampaikan ucapan selepas majlis serah terima tugas antara Tan Sri Ismail Omar yang akan bersara sebagai KPN selepas tamat kontrak pada Khamis dengan Khalid di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.

Khalid percaya dengan kekuatan yang ada seperti sumber manusia yang menjadi tulang belakang pasukan maka segala cabaran yang dihadapi PDRM ketika ini mampu ditangani dengan baik demi menjamin keselamatan negara.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Ismail dengan menyifatkannya seorang yang sederhana serta merendah diri tetapi tegas dalam menjalankan tugas.

Khalid berkata ketegasan Ismail yang tidak berkompromi dengan mana-mana isu melibatkan keselamatan dan keamanan negara telah menyerlah integriti beliau sebagai pemimpin tertinggi pasukan keselamatan itu sehingga mengangkat martabat PDRM di rantau ini dan persada antarabangsa.

"Beliau (Ismail) telah meninggalkan satu legasi yang amat ampuh untuk saya teladani, terutamanya dalam mentadbir PDRM," katanya. Terdahulu, Khalid pada majlis yang sama menandatangani surat serah terima tugas jawatan yang disandangnya sebelum ini sebagai Timbalan KPN kepada Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin yang sebelum ini menyandang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Khalid, 56, yang berasal dari Seremban dan memiliki ijazah perundangan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menjalani latihan sebagai Inspektor di Pulapol pada 5 Dis 1976 dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Anti Narkotik Kedah pada 1997.

Enam tahun kemudian beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Polis Pahang dan kemudiannya pada tahun yang sama, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuantan. Pada 2005, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan sebelum setahun kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan pada Jun 2007 dilantik pula sebagai Ketua Polis Selangor.

Tiga tahun kemudian pada 13 Oktober 2010, beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dan tidak sampai setahun, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan